F Amira Othman terbuka terima kritikan | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Amira Othman terbuka terima kritikan


PENYANYI dan pelakon Amira Othman mengakui tidak mudah untuknya menempatkan diri di dalam bidang seni meskipun bakat seninya dicungkil dari program Akademi Fantasia yang mendapat perhatian peminat dunia hiburan.

Berdepan persaingan daripada bakat baru yang tampil dengan kebolehan yang tidak kurang hebatnya menjadikan Amira sentiasa mencari peluang berbeza untuk mengembangkan bakat seninya.

Tidak sekadar dalam nyanyian, tetapi dia yang pernah bergelar pengacara program bual bicara Nasi Lemak Kopi O ini juga mahu lebih serius dalam lakonan.

“Selepas bintangi drama Abang Bomba I Love You tahun lalu, saya dapat banyak tawaran lakonan dan ia peluang terbaik saya kembangkan bakat dalam bidang lakonan pula.

“Meskipun nyanyian keutamaan saya, namun saya anggap lakonan platform saya belajar benda baru dan mendedahkan diri kepada cabaran lebih besar kerana lakonan bukan bidang saya,” akuinya jujur.

Meskipun lakonan pertamanya menerusi drama tersebut mendapat kritikan hebat daripada peminat, anak kelahiran Skudai, Johor ini tidak pernah patah semangat apatah lagi untuk serik mencuba nasib.

“Saya lahir program realiti TV dan sudah biasa berdepan kritikan, malah saya sedar lumrah di mana bukan semua kita lakukan itu disukai orang.

“Bagaimanapun, saya sentiasa terbuka terima pendapat orang kerana saya sedar tidak semua kritikan menjatuhkan, sebaliknya jika kita ambil dengan cara positif, insya-ALLAH ia bantu kita jadi lebih baik.

“Memang saya akui lakonan pertama saya banyak kelemahan, namun ia tidak pernah jadikan saya serik berlakon lagi,” jelasnya yang bakal muncul dalam telefilem raya Abang Bomba I Love You.

Biarpun melebarkan sayap ke bidang lakonan, Amira yang juga pemegang Diploma Muzik UiTM Shah Alam ini menegaskan, keutamaannya tetap dalam bidang nyanyian kerana minat dan kecenderungannya lebih kepada muzik.

“Memang saya tidak nafikan selepas muncul drama tersebut, ramai peminat mahu saya berlakon lagi, namun banyak benda harus saya pertimbangkan kerana tumpuan utama saya adalah nyanyian.

“Insya-ALLAH selepas raya nanti, saya  kembali berlakon di mana saya akan memulakan penggambaran selepas beberapa kali terpaksa menolak tawaran kerana terikat komitmen lain,” katanya.

Cerewet pilih lagu



Dalam perkembangan lain, kata Amira, dia kini sibuk membuat pemilihan lagu untuk single terbarunya tidak lama lagi.

Biarpun hanya single, Amira yang sebelum ini cukup dikenali menerusi lagu Hati-Hati ini mengakui agak cerewet dalam pemilihan lagu kerana mahu sentiasa tampil dengan sesuatu yang berkualiti buat peminatnya.

“Saya tidak kisah jika perlu ambil masa lama untuk keluarkan single baru kerana bagi saya apa yang lebih penting adalah kualitinya selain kesesuaian lagu tersebut dengan suara dan kemampuan nyanyian saya.

“Sebelum ini pun untuk single pertama dan kedua, saya juga ambil masa lebih setahun dan alhamdulillah hasilnya sangat menggembirakan apabila lagu-lagu tersebut berjaya dapat perhatian peminat.

“Buat masa sekarang saya terima beberapa demo lagu termasuk daripada komposer Indonesia, tetapi biarlah saya ambil sedikit masa untuk buat penelitian sebelum putuskan lagu mana yang akan dijadikan single ketiga nanti,” ujarnya yang merancang untuk menghasilkan album selepas tampil dengan lima single.

Amira yang meminati genre Waltz ini juga menyedari dia perlu sentiasa tampil dengan kelainan dalam usaha memberi saingan kepada ramai penyanyi baru yang kini hadir menerusi pelbagai pakej tersendiri.

“Bukan senang saya mahu cari kedudukan dalam bidang seni kerana terlalu ramai orang berbakat.

“Jadi saya perlu tampil kelainan dengan bawa genre berbeza menerusi single Hati Hati yang agak catchy dan mudah didengar biarpun pada awalnya saya lebih cenderung rakam lagu solo.

“Alhamdulillah kejayaan itu jadi inspirasi buat saya di mana kita harus sentiasa berani cuba benda baru dan seterusnya Tampilkan kelainan dalam hasil karya kita dari masa ke semasa,” luahnya yang hanya dikenali selepas tiga tahun bergelar penyanyi.

Biarpun kini sedang sibuk merencana kerjaya seninya, Amira yang juga kakak kepada penyanyi baru, Irfan Haris tetap menyimpan hasrat untuk menyambung pengajiannya dalam bidang muzik suatu hari nanti.
ot;1" />
Powered by Blogger.