F Ambil makanan tambahan | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Ambil makanan tambahan

Lebih dua dekad membina nama dalam karier seni, pencapaian Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 38, nyata unggul.

Namun begitu, di sebalik jadual aktiviti seni yang padat, Siti tetap peka pada penjagaan kesihatannya.


Berkongsi tip kesihatan, penyanyi lagu Cindai ini mengamalkan pengambilan produk makanan tambahan. Memandangkan dirinya pencinta makanan, Siti juga pastikan ada masa melakukan senaman.

Katanya, apabila makan, aktiviti selepasnya memang diseimbangkan dengan melakukan senaman. Siti membabitkan diri dengan aktiviti berbasikal, pergi gimnasium dan kadang kala berenang.

“Semua itu saya lakukan untuk seimbangkan kesihatan dengan rutin pemakanan setiap hari. Aktiviti bersenam selalunya saya lakukan lima kali dalam seminggu.

“Sekarang saya paling suka aktiviti berbasikal. Jika melakukan aktiviti ini, saya lakukan secara berkumpulan kerana minat ini juga disukai suami dan anak-anak,” katanya.

Kata Siti, selalunya apabila berbasikal dia ditemani suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa dan pergi satu keluarga. Secara tidak langsung aktiviti ini boleh mengeratkan silaturahim.

Anak jati Temerloh, Pahang ini akui perlu mengambil produk makanan tambahan kerana faktor usia meningkat.

“Saya sedar sejak usia makin meningkat, memang boleh rasa ada banyak kekurangan pada tahap kesihatan badan.

“Kalau sebelum ini saya rasa tulang kuat, sekarang kekuatan tulang itu sudah makin menurun dan saya amalkan pengambilan kalsium.

“Selain itu saya juga mengambil produk makanan tambahan untuk kecerdasan memori dan keanjalan kulit,” katanya.

Tidak lengkap jika hanya berkongsi tip kesihatan Siti saja kerana beliau juga cukup dikenali sebagai penghibur yang memiliki vokal lunak dan mantap.

Mengenai penjagaan vokal, Siti akui selalu membuat latihan menyanyi. Baginya, aspek penjagaan vokal ini umpama pensil yang perlu sentiasa diasah untuk kekal tajam.

“Kalau tak diasah, tentulah tidak akan tajam. Begitu juga dengan vokal saya. Kalau lama sangat berehat, pasti ada kala teknik menyanyi agak menurun.

“Jadi, saya akui untuk memastikan tahap vokal sentiasa berada pada tahap yang baik, memang kena selalu berlatih terutama apabila lama sangat berehat,” katanya.

Apa yang pasti, kata Siti, dia akan mengelak minum ais sekiranya bakal beraksi dalam persembahan berskala besar.

“Elak minum ais memamg pantang sebenar saya sejak dari dulu. Cuma apabila sudah berumah tangga, kadang-kadang saya langgar juga.

“Apabila rasa teringin sangat nak minum ais, saya ambil juga sekali sekala tetapi kalau saya terbabit dengan konsert besar, memang saya elak minum ais selama sebulan menjelang persembahan,” katanya.

Turut bersikap terbuka berkongsi cita rasa fesyen dan gaya penampilannya, Siti berkata beliau memilih penampilan ringkas.

Bagaimanapun jika perlu muncul untuk acara hiburan tertentu dan persembahan nyanyian, penampilannya di atas pentas memang diutamakan.

“Sebagai selebriti yang dikenali, semestinya orang mahu lihat penampilan diri kita sempurna. Tidak sekadar cantik pada pakaian tetapi perlu diberi perhatian dari hujung rambut sampai ke kaki kerana masyarakat nak tengok,” katanya.

Apapun kata Siti, dia memang agak cerewet dalam pemilihan pakaian sesuai untuk menghadiri acara hiburan tetapi untuk penampilan gaya hari- hari biasa, pilihan pakaian ringkas sudah memadai.
InstaForex
Powered by Blogger.