Berita Terkini
recent

Ajak penonton naik pentas

Di sana Menanti Di sini Menunggu, Pahit Akan Manis Akhirnya dan Kau Satu-Satunya antara lagu popular yang menaikkan nama Ukays sekitar era 1990-an.

Kumpulan ini bukan sahaja digilai ramai peminat, malah menjadi buruan penganjur setiap pertunjukan pentas.

Bagaimanapun, itu belum cukup untuk menarik kehadiran penonton bagi menyaksikan showcase mereka yang berlangsung di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada petang Ahad lalu.

Namun, kehadiran 200 peminat sudah memadai buat Amy (gitaris), Well (bass), Tokjie (bass), Ali (dram) dan Ady (vokalis) yang bersemangat menghangatkan suasana premis terkenal itu.

Sikap profesional tetap diperlihatkan band ini apabila menampilkan persembahan mantap dan menghiburkan.

Apatah lagi, rata-rata yang hadir adalah peminat tegar dan turut sama menyanyi semua lagu disampaikan Ady.

Petang itu, Ukays mempersembahkan 12 lagu hit iaitu Rythm Berbunyi Lagi, Bila Diri Disayangi, Kekasihku Di Menara, Kau Satu-Satunya, Siapa Rampas Cintamu dan Kerana Pepatah Lukaku Berdarah.

Tidak ketinggalan mereka turut menampilkan lagu Kembali Mencari, Pahit Akan Manis Akhirnya, Seksa/­Sebak, Rythm Si Jantung Hati, Di sana Menanti Di sini Menunggu dan Lepaskanmu Kerana Terpaksa.

Biarpun masih muda, Ady yang mengambil alih tempat Amir sebagai vokalis berjaya menghayati lagu Ukays dengan baik.

Dia memanfaatkan tenaga mudanya menyanyikan lagu yang keseluruhannya bernada tinggi dengan berkesan.

Lebih daripada itu, dia juga mampu berkomunikasi dengan peminat, sekali gus memeriahkan lagi suasana persembahan.

Tidak ketinggalan peminat juga diajak naik ke pentas untuk sama-sama menyanyikan lagu Ukays dan mereka ternyata ‘sporting’ apabila berduet dengan Ady.

Selain Ukays, peminat turut dihiburkan dengan persembahan Rani Kulup dan kumpulan Sometimes Group yang menyampaikan lima lagu.

Amy selaku ketua kumpulan mengakui tidak kecewa dengan sambutan peminat kerana ini langkah permulaan untuk Ukays melangkah ke depan.

“Saya tetap puas hati kerana yang penting peminat tetap hadir dan menyanyi ­bersama sebagai tanda sokongan buat kami.

“Selepas ini kami akan menjayakan persembahan di Hard Rock Cafe Singapura, Hard Rock Cafe Jakarta dan Sabah,” katanya.

Menurutnya, paling menggembirakan apabila showcase ini dapat direalisasikan selepas setahun tertangguh.

“Tahun lalu ada banyak halangan daripada pihak tertentu dan terpaksa menunggu tahun ini untuk merealisasikannya.

“Saya berterima kasih kerana mendapat sokongan beberapa penaja yang bekerjasama menjayakan showcase ini di seluruh negara,” katanya.

Tidak ketinggalan Ukays juga bakal hadir dengan dua single baru berjudul Terpaksa Ku Lepaskan dan Di sana Setia Di sini Undur Diri.
ot;1" />
Powered by Blogger.