F Wings kembali ke Sabah | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Wings kembali ke Sabah

KALI terakhir kumpulan legenda rock, Wings mengadakan konsert berskala besar di Sabah adalah kira-kira 20 tahun lalu.

Kumpulan Wings tidak menyembunyikan rasa rindu untuk mengadakan persembahan di sana setelah sekian lama tidak beraksi di pentas luar dari Kuala Lumpur.

Perkara ini pastinya membuatkan remaja Sabah yang lahir sekitar abad 20-an tidak sempat untuk menonton kelibat mereka.

Konsert yang dinamakan sebagai Konsert Wings 30 Tahun Live@ Kota Kinabalu bakal berlangsung di Stadium Likas dengan menampilkan beberapa artis tempatan seperti Aweera, Akim Ahmad, Yazer dan lain-lain lagi yang akan mengadakan persembahan pada konsert itu.

Vokalis Wings, Awie berkata, pihaknya sudah lama menyimpan hasrat untuk mengadakan konsert mega di negeri bawah bayu itu. Namun, disebabkan kekangan bajet dan masa, mereka menangguhkan hasrat tersebut.

“Kami berusaha mendapatkan bajet untuk merealisasikan impian itu. Alhamdulillah, akhirnya berjaya mengumpul bajet bagi menganjurkan konsert tersebut.

“Jadi, Wings berharap peminat tidak melepaskan peluang untuk menyertai konsert ini memandangkan agak sukar untuk Wings melakukan persembahan di sana," katanya semasa sidang media pelancaran penjualan tiket konsert, baru-baru ini.

Wings kini sedang berurusan bersama Kerajaan Negeri Sabah untuk memuktamadkan beberapa perkara sebelum konsert itu dapat berlangsung.

Dijangka menyanyikan kira-kira 30 lagu dengan durasi tempoh konsert tersebut dianggarkan lebih dua jam dan hal ini pasti memberikan kepuasan kepada bakal penonton konsert berkenaan.

Tiket konsert sudah boleh dibeli sejak minggu lalu melalui KMG, EventFinders, Nasi Kukus One Borneo dan beberapa individu yang dilantik.

"Pembeli awal tiket emas berpeluang menghadiri sidang media kedua mengenai konsert ini di Kota Kinabalu pada 14 November hadapan.

“Manakala bagi pembeli tiket platinum, mereka berpeluang  menghadiri majlis keraian selepas tamatnya konsert itu bersama kami dan lokasi majlis akan diumumkan nanti.

“Harga istimewa juga diberikan kepada pelajar yang menunjukkan kad pelajar pada harga RM35 dan tiket hanya boleh didapati di Nasi Kukus One Borneo,” ulas Awie.

Konvoi ‘bikers’ promosi konsert

Untuk merancakkan rangka promosi konsert tersebut, Wings melancarkan Konsert Wings 30 Tahun Live @ Kota Kinabalu Big Bike Ride.

Konvoi tersebut diketuai Awie dan diiringi kira-kira 26 motosikal berkuasa besar.

“Kami akan memulakan perjalanan dari Kota Kinabalu ke kira-kira 14 lokasi seperti Tawau, Lahad Datu, Ranau dan lain-lain lagi.

“Konvoi ini akan memulakan pengembaraan pada 15 November dan dijangka berakhir pada 24 November,” katanya.

Sementara itu, ketua kumpulan Wings, Joe berkata, kualiti konsert di Kota Kinabalu adalah sama seperti konsert ulang tahun Wings ke-30 di Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Menurutnya, Wings akan membawa pasukan teknikal yang sama untuk menjayakan konsert itu.

“Tenaga produksi, peralatan teknikal, sistem bunyi dan pencahayaan semuanya sama seperti yang digunakan untuk konsert di Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

“Jadi, peminat kami di Borneo boleh menjangkakan konsert ini adalah sebuah konsert yang hebat,” katanya.

Konsert Wings 30 Tahun Live @ Kota Kinabalu akan diadakan pada 24 Disember. Tiket dijual RM50 (biasa), RM250 (emas) dan RM1,000 (platinum).

Powered by Blogger.