F 'Wahai pemimpin, dengarlah saranan saya' | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

'Wahai pemimpin, dengarlah saranan saya'

KITA digemparkan dengan berita tahanan kapal Zaytouna-Oliva yang membawa 13 wanita ahli misi Women`s Boat To Gaza oleh rejim Israel sekitar jam 9.58 malam (waktu Malaysia) pada Rabu.

Kapal tersebut dijangka akan ditunda oleh tentera Israel menuju Pelabuhan Ashdod menurut sumber berita daripada Page Rose To Rose.

"Misi ini adalah sekecil usaha ke arah pembebasan Palestin dan kita mahu wanita dan kanak-kanak di Palestin merasakan dunia ini cakna pada nasib mereka".

Inilah kata-kata dari satu-satunya wanita Malaysia yang menyertai misi ini, Dr Fauziah Mohd Hasan ketika saya mengadakan pertemuan dengannya pada tarikh 6 September 2016 di Hospital Ampang Puteri.

Gaza merupakan penjara terbesar menempatkan hampir 2 juta manusia yang terkepung, disekat dari keluar masuk dan mereka hidup dengan penuh kesengsaraan di mana rumah, sekolah, hospital dan sebagainya dibom oleh Israel.

Perjuangan membebaskan bumi Palestin ini adalah tanggungjawab kita semua kerana tiga perkara.

Pertama, kerana atas dasar kemanusiaan, kedua kerana mereka adalah saudara seislam kita dan ketiga kerana bumi Palestin yang terletaknya Masjid al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama umat Islam.

Misi Womens Boat To Gaza yang disertai oleh 13 orang wanita ini cukup berjaya membuka mata masyarakat dunia bahawa perjuangan membebaskan Palestin masih belum selesai.

Kita sedia maklum, misi ini mengetengahkan objektif cukup besar iaitu menghentikan kepungan di Gaza yang berlarutan selama hampir 10 tahun.

Seterusnya, tujuan penganjuran misi keamanan ini adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat dunia bahawa hak-hak rakyat Palestin harus dikembalikan di samping menunjukkan solidariti bersama rakyat Palestin terutamanya wanita dan kanak-kanak dan perjuangan membebaskan bumi Palestin dari cengkaman Zionis merupakan usaha bersama seluruh dunia.

Kapal Zaytouna-Oliva membelah lautan selama hampir 20 hari, membawa misi kemanusiaan, keamanan, cinta dan kedamaian, lalu berakhir dengan tahanan oleh Zionis pengecut!

Oleh itu, saya menyeru kepada semua pimpinan daripada semua parti politik dan NGO di Malaysia supaya:

1- Mengutuk dan mengecam tindakan Israel terhadap 13 orang ahli misi Womens Boat To Gaza sebagai tindakan penakut

2- Mendesak supaya tawanan dibebaskan segera dan diberikan pelepasan untuk menjayakan misi pelayaran

3- Mengecam Israel kerana mengancam keamanan

4- Pembayaran pampasan kos ganti rugi kerana mengancam semua rakyat yang terlibat.

#IsraelPengecut
#shameonyouIsrael

Nik Fatma Amirah Nik Muhamad
Belia Malaysia
6 Oktober 2016
Powered by Blogger.