F Usaha berhasil, Siti serah pada takdir | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Usaha berhasil, Siti serah pada takdir

PENGHIBUR nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin mendahului senarai Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM22) dengan tujuh pencalonan daripada 16 kategori dipertandingkan tahun ini.

Menerusi album Datuk Siti Nurhaliza Unplugged, Siti menerima pencalonan termasuk Album Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita), Rakaman Album Terbaik dan Lagu Pop Terbaik.

Manakala menerusi kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu, Siti mendapat dua pencalonan iaitu Jaga Dia Untukku dan Menatap Dalam Mimpi.

Turut tercalon adalah lagu Mikraj Cinta menerusi kategori Lagu Nasyid Terbaik.

Biarpun mendahului senarai pencalonan, penyanyi berusia 37 tahun ini tidak meletakkan harapan tinggi dan menyerahkan kepada mereka yang lebih arif untuk mengadili.

"Alhamdulillah, apabila Siti membuat album, fokus utama adalah untuk menghasilkan album terbaik dan berkualiti.

"Kerana itu yang bekerja dengan Siti adalah orang-orang terbaik dalam industri dan pentas mengiktiraf album terbaik ini AIM.

"Namun kalau dilihat calon-calon lain yang turut tersenarai, semuanya hebat-hebat dan ada kelebihan tersendiri.

"Jadi Siti hanya berserah kepada mereka yang lebih arif untuk mengadili dan jika dapat, ia rezeki," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menyifatkan industri muzik kini lebih moden dan ramai pendatang baharu, Siti berkata, industri muzik kini berada di satu aras yang lebih maju berbanding dahulu.

"Dulu kalau kita dengar sesuatu lagu itu, kita tahu itu pop, itu nasyid.

"Tetapi kini, lagu nasyid pun sudah ada unsur pop. Macam Mikraj Cinta, ketika Siti pertama kali dengar lagu tersebut, Siti ingat itu lagu pop.

"Bagaimanapun Hafiz Hamidun beritahu ia adalah lagu nasyid.

"Tapi baguslah kerana industri muzik kita berkembang dengan baik dan tidak berada di takuk lama sahaja," jelasnya.

Mengimbau pembikinan album dan lagu yang tercalon, Siti berkata, lagu Menatap Dalam Mimpi ciptaan Aubrey Suwito memberi 1,001 makna buatnya.

"Aubrey memaklumkan pada Siti, lagu ini untuk arwah abah. Komposisi muziknya juga sangat mencabar.

"Malah semasa menyanyikan lagu ini, ada ketika Siti rasa terganggu.

"Bagaimanapun bila sudah sampai ke tahap ini, Siti rasa hasil kerja sudah dihargai.

"Siti memang berpuas hati dan bersedia bergerak ke pembikinan album seterusnya," katanya.

Tambah Siti, dia diminta untuk melakukan persembahan pada malam kemuncak AIM22 yang bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (PWTC) pada 18 Disember depan.

Namun dia masih mencari idea untuk membuat satu persembahan lain daripada yang lain.

Album baharu

Sementara itu, berkongsi perkembangan terkininya, Siti berkata, dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran muzik video lagu berbahasa Inggeris yang dipetik dari album All Your Love.

Pada masa sama, dia kini sedang sibuk mengumpul material untuk album pop terbarunya yang dijangka dilancarkan pada Januari depan.

"Siti sudah mendapat beberapa buah lagu termasuk dari komposer Malaysia dan Indonesia.

"Opick juga ada menyatakan hasrat untuk memberikan Siti sebuah lagu.

"Kini masih dalam proses pemilihan dan Siti jangka akan memulakan proses rakaman pada bulan depan," katanya.

Tambah Siti, beberapa projek yang sudah dirangka sebelum ini seperti album etnik bersama Pak Ngah, klip video Memories yang disampaikan secara ‘duet digital’ bersama idolanya mendiang Whitney Houston dan beberapa DVD konsertnya kini masih dalam proses.

"Buat masa ini, Siti mahu fokus pada album pop terlebih dahulu dan album etnik itu masih dalam perancangan.

"Mengenai video klip lagu Memories pula, pihak Yonder Music memaklumkan masih ada sedikit perkara perlu diuruskan berkaitan hak dari segi gambar.

"Manakala DVD untuk konsert-konsert sebelum ini juga masih menunggu kelulusan pihak berkaitan kerana ada melibatkan syarikat rakaman berbeza dan artis luar negara," akhirinya.
Powered by Blogger.