F Umno Pulau Pinang kesal dengan penglibatan Zahidi | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Umno Pulau Pinang kesal dengan penglibatan Zahidi

Umno Pulau Pinang kesal dengan penglibatan Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin dalam parti baharu, Penang Front Party (PFP).

Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, penglibatan Zahidi sama sekali tidak mewakili Umno malah beliau dilantik sebagai Penasihat PFP atas kapasiti peribadi beliau sendiri.

Zainal Abidin berkata, Umno Pulau Pinang turut kesal dan kecewa dengan tindakan Zahidi yang membenarkan dirinya dipergunakan oleh PFP yang mampu menggugat kerjasama dan persefahaman antara parti-parti komponen BN yang sekian lama terjalin di Pulau Pinang.

Menurutnya, penubuhan parti PFP  dan pelantikan Zahidi sebagai penasihat PFP tidak pernah dirujuk kepada Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno ataupun Umno Pulau Pinang malah tiada sebarang  persetujuan diberikan Umno kepada beliau untuk dilantik ke jawatan itu.

"Persetujuan Zahidi menjadi penasihat sebuah parti yang mencadangkan pewujudan sebuah kasino di Pulau Pinang adalah tindakan yang tidak wajar dan tidak beretika bagi seorang Ahli Parlimen Umno.

"Zahidi sepatutnya lebih peka dan lebih maklum dengan keadaan dan sensitiviti umat Islam khususnya dan rakyat Pulau Pinang, amnya," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Zainal Abidin turut menegaskan cadangan PFP untuk mewujudkan kasino di Pulau Pinang tidak ada kena mengena dengan Umno dan pihaknya tetap dengan pendirian menolak sebarang cadangan untuk mewujudkan kasino di negeri ini.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Zahidi sebelum ini yang menyatakan PFP merupakan parti mesra BN, Zainal Abidin berkata, Umno tidak pernah menyokong penubuhan parti itu.

Katanya, hasrat PFP untuk bertanding di 25 kerusi Dun Pulau Pinang yang ditandingi oleh komponen BN selain Umno adalah jelas bertentangan dengan konsep sebuah parti mesra BN.

"Sebuah parti mesra BN tidak akan sama sekali meletakkan calon bertanding menentang calon BN.

"Mana mungkin Umno Pulau Pinang menyokong hasrat PFP tersebut yang jelas bertentangan dengan prinsip dan semangat setiakawan yang didokong kukuh oleh parti-parti dalam BN," katanya.
Powered by Blogger.