F 'Saya minat jadi pengacara' | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

'Saya minat jadi pengacara'

DEMI cinta terhadap dunia seni, Mohd Azli Othman sanggup meninggalkan bidang kerjaya yang menjanjikan gaji lumayan.

Biarpun berkelulusan dalam bidang Sains & Teknologi (Geologi) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), anak muda berusia 37 tahun ini lebih selesa memilih menjadi pengacara majlis.

“Saya berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan sejak di zaman universiti lagi.

“Ketika itu, saya kerap tawar diri menjadi pengacara dalam pelbagai acara atau program anjuran kolej kediaman dan persatuan.

“Ternyata, bidang ini merupakan minat dan keutamaan saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Bercerita lanjut, Mohd Azli bagaimanapun mengakui perlu ‘melengkapkan’ diri agar mampu tampil sebagai pengacara majlis yang baik dan disegani ramai.

“Saya bermula dari bawah, jadi saya perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan yang relevan menerusi kursus, seminar atau simposium yang dianjurkan oleh mana-mana agensi kerajaan mahupun sektor korporat.

“Jujurnya, saya pernah berguru dengan pengacara serba boleh, Datuk Mahadzir Lokman dan Chuari Selamat.

“Alhamdulillah, semua titipan ilmu yang dikutip ini dapat memantapkan kerjaya saya seterusnya mencari ruang untuk mempraktikkannya secara maksimum,” katanya.

Katanya, selain minat dan bakat, seseorang pengacara juga perlu mempunyai keyakinan dan kesungguhan terutamanya dalam memperbaiki sebarang kelemahan.

“Kriteria penting adalah melalui teknik komunikasi dengan khalayak umum, media dan tetamu kehormat.

“Bukan itu sahaja, pengacara juga perlu  mengikut aliran arus perdana dengan mengoptimumkan ilmu pengetahuan.

“Laras bahasa juga harus diperbaiki dari semasa ke semasa agar bersesuaian dengan keadaan majlis yang berlangsung,” katanya.



Bina keyakinan diri

Pun begitu, Mohd Azli juga tidak terlepas daripada menghadapi pelbagai cabaran.

“Cabaran paling sukar adalah untuk mendapatkan kepercayaan daripada penganjur.

“Pengacara juga harus peka dan bijak dalam mengendalikan sesuatu majlis. Bahkan, pengacara juga memainkan peranan penting agar majlis berjalan dalam suasana yang harmoni dan terhibur.

“Selain itu, kesihatan juga perlu dijaga sebaik-baiknya. Saya hampir terlepas peluang mengacarakan Konsert Lentera Timur anjuran penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza gara-gara peti suara yang mengalami kecederaan,” katanya.

Namun, menariknya, anak jati Klang, Selangor ini juga mempunyai kaedah tersendiri dalam membina keyakinan diri untuk bercakap di hadapan umum.

“Selain terlibat dalam kerja-kerja belakang tabir, saya juga merupakan seorang penggiat teater sehingga ke hari ini.

“Jadi, saya gunakan kelebihan itu bagi menangani perasaan gemuruh.

“Ini kerana, saya selalu beranggapan saya sedang berada dalam karakter lakonan,” katanya.



Satu kepuasan

Dalam pada itu, Mohd Azli berpendapat kerjaya sebagai pengacara majlis adalah sesuatu yang menarik dan menghiburkan.

Katanya, pelbagai aspek kreatif boleh diterjemahkan berdasarkan kepada input pengetahuan dan kemahiran individu berkenaan.

“Jadi, bagi mereka yang ingin dikenali, acara dan program hiburan merupakan platform yang sesuai untuk mengaspirasikan impian.

“Dunia penyiaran di negara ini begitu luas untuk diteroka dan kita seharusnya pandai dalam mencari ruang dan peluang,” katanya.

Kini, Mohd Azli yang bertugas di Istana Budaya mengakui puas dalam merencana kerjayanya sementelahan ia adalah bidang yang diminatinya.

“Jujurnya, saya tidak meletakkan sasaran kepada kemuncak kerjaya saya kerana apa yang dimiliki pada hari ini sudah cukup memadai.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dapat melaksanakan tanggungjawab dan kepercayaan yang diberi.

“Kepuasan saya terzahir apabila orang-orang di persekitaran memberi pujian dan dorongan untuk terus berjaya pada masa depan.

“Saya berharap agar saya dapat melebarkan sayap kerjaya ke medium yang lebih komersial,” katanya.

Sementara itu, selain menjadi pengacara, Mohd Azli juga terbabit sama dalam mengendalikan bahagian muzik dan produksi di Istana Budaya.

"Saya berfungsi untuk menyelaras dan merealisasikan pelbagai program atau projek tertentu yang tersenarai dalam kalender program rasmi di Istana Budaya sepanjang tahun.

"Buat pertama kalinya juga, saya diberi tanggungjawab sebagai pengarah persembahan untuk Konsert 3 Kejora Bersatu," katanya.
Powered by Blogger.