F Saman Ditolak, Novelis Ombak Rindu Diarah Bayar RM40,000 | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Saman Ditolak, Novelis Ombak Rindu Diarah Bayar RM40,000

Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam menolak kes saman yang dikemukakan penulis novel Ombak Rindu, Fauziah Ashari terhadap syarikat Grup Buku Karangkraf dan syarikat penerbitan filem Tarantella Pictures tahun lepas.

Sinar Harian melaporkan, Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah menolak saman Fauziah selaku plaintif atas alasan plaintif telah menyerahkan hak cipta karya Ombak Rindu kepada Grup Buku Karangkraf yang ketika itu dikenali sebagai Alaf 21 Sdn Bhd.

Dalam penghakimannya, Amelia memutuskan melalui perjanjian yang ditandatangani oleh Fauziah dengan Alaf 21 pada 2002, Fauziah telah menyerahkan hak cipta karya Ombak Rindu kepada Alaf 21.

Mahkamah juga memutuskan berdasarkan perjanjian tersebut, Alaf 21 mempunyai hak mutlak untuk mengedit, menerbitkan dan menjual karya tersebut dalam apa juga bentuk, termasuk memberikan kebenaran kepada Tarantella Pictures untuk mengadaptasikan karya Ombak Rindu kepada filem.

Amelia turut memerintahkan Fauziah membayar kos RM40,000 kepada Grup Buku Karangkraf dan Tarantella Pictures Sdn Bhd masing-masing selaku defendan pertama dan kedua.

Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd diwakili peguam Zuwita Kamaruzaman, manakala Tarantella Pictures (M) Sdn Bhd diwakili peguam Vasanthi Rasathurai.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, pada 2002 Fauziah menandatangani perjanjian dengan Alaf 21 berkenaan karya Ombak Rindu.

Alaf 21 Sdn Bhd pada tahun yang sama menerbitkan buku Ombak Rindu sebelum memberikan kebenaran kepada Tarantella Pictures (M) Sdn Bhd untuk mengadaptasikan karya Ombak Rindu kepada filem pada tahun 2009.

Filem Ombak Rindu telah ditayangkan di pawagam sekitar Disember 2011 dan mendapat kutipan hampir RM10 juta.

Ia dibintangi Aaron Aziz, Maya Karin dan Lisa Surihani.

Pada Februari 2015, Fauziah memulakan tindakan terhadap Grup Buku Karangkraf dengan mendakwa beliau adalah pemilik hak cipta karya Ombak Rindu dan Grup Buku Karangkraf telah dengan salah memberikan Tarantella Pictures kebenaran untuk mengadaptasikan karya itu kepada filem.

Fauziah mendakwa Tarantella Pictures telah mengubahsuai jalan cerita Ombak Rindu tanpa kebenarannya.

Sehubungan itu beliau menuntut beberapa perintah mahkamah, termasuk deklarasi mahkamah bahawa Karya Ombak Rindu adalah milik mutlak beliau seorang, selain keuntungan dan ganti rugi untuk ditaksirkan oleh mahkamah.
Powered by Blogger.