F Saida Tarudin Kembali Bergelar Isteri | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Saida Tarudin Kembali Bergelar Isteri

Penyanyi Saida Tarudin yang juga kakak kepada Datuk Siti Nurhaliza, memilih untuk melangsungkan pernikahan dengan cinta hatinya, Apit atau nama sebenarnya Hafiizh Che Mat, pada jam 2.40 petang tadi.

Dengan sekali lafaz, lelaki berusia 36 tahun berkenaan yang terbabit dalam kerja belakang tabir sah bergelar suami kepada Saida (Siti Norsaida Tarudin), 40, dalam satu majlis pernikahan diadakan di Masjid Al Muklisin, Alam Damai Cheras.

Apit yang bekerja dalam perkhidmatan pengurusan acara, kamera video dan produksi menyerahkan mas kahwin sebanyak RM80 dan wang hantaran RM10,000 kepada Saida. Saida menerima tiga dulang hantaran dan dibalasnya dengan jumlah lima kepada suami. Kedua-duanya menggayakan rekaan KS Entourage dan didandan jurusolek terkenal, Epie Temerloh.

Namun majlis terbabit diadakan secara sederhana dan tertutup membabitkan ahli keluarga serta sanak saudara dan kawan terdekat sahaja. Saida menerusi kenyataan media yang dihantar memohon maaf kerana majlis diadakan tanpa kehadiran pihak media atas sebab yang terlalu peribadi.

"Atas permintaan keluarga termasuk anak saya sendiri, majlis ini diadakan tanpa teman media. Benar memang terlalu ramai pihak yang perlu dijaga perasaan mereka. Apatah lagi, ia perkahwinan kedua bagi saya dan suami. Saya dengan penuh kerendahan hati bersama ahli keluarga lain memohon maaf di atas kesulitan ini.

"Saya menyedari hal yang baik ini memang perlu dikongsi. Apa-apapun saya berharap, semua pihak dapat mendoakan kebahagiaan saya dan suami. Ketika ini kita selesaikan dahulu majlis nikah. Soal ke depan, insya-Allah akan diadakan majlis persandingan," kata Saida.

Pasangan ini mula mengenali sejak empat tahun lalu.

Saida pernah mendirikan rumah tangga dengan Mohd Ghazali Yahya Zikri pada 14 Disember 1996, namun berpisah pada 7 Oktober 2011. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Siti Nurunnyssa, Anas, Khalid dan Siti Nurul Mashitah. Apit juga mempunyai dua orang anak menerusi perkahwinan terdahulu.
Powered by Blogger.