F Ruang belajar perkara baru FARA | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Ruang belajar perkara baru FARA

Biarpun Fara Fauzana sudah biasa mengacarakan pelbagai majlis, dia belum bersedia untuk memikul tanggungjawab mengendalikan program bercorak keagamaan kerana menganggap dirinya masih belajar.

Lantaran itu, apabila Astro Oasis melamarnya untuk bersama-sama terbabit dalam program realiti agama Pencetus Ummah musim keempat (PU4), Fara, 36, agak kaget kerana jika mahu dia menjadi pengacara program itu, dia belum bersedia.


Bagaimanapun, Fara ‘lega’ apabila mereka memintanya menjadi juri tetap bersama Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr Maza.

Pengacara program berkenaan ialah Faizal Ismail atau FBI bersama PU Azman Syah Alia.


“Pastinya saya teruja dengan pelawaan itu. Saya juga penonton program Astro Oasis yang menjadi wadah untuk menimba ilmu dan pembabitan dalam PU4 memberi peluang untuk belajar perkara baru khususnya dalam bidang keagamaan.

“Bagaimanapun, untuk mengacarakan PU4, amanah itu terlalu besar dan ilmu agama saya belum mantap. Saya meletakkan diri sebagai penonton dan orang yang baru belajar,” katanya.

Pada waktu sama, Fara juga mengendalikan program Muzik Muzik di TV3. Sehubungan itu, dia dan produksi PU4 berbincang dengan panjang lebar kerana tidak mahu timbulnya konflik.

“Mereka tiada masalah mengenai perkara itu dan juga cara saya berpakaian, cuma saya akan berhati-hati dalam penggunaan ayat dan kata-kata yang akan dilontarkan dalam Muzik Muzik,” katanya.

Dalam PU4, Fara akan menilai peserta berdasarkan imej, persembahan dan keberkesanan mesej yang disampaikan peserta manakala perkara lain akan dinilai Dr Maza.

Menjelang siaran langsung episod pertama PU4 pada 27 Oktober ini, Fara menonton semula penjurian yang dilakukan penyampai radio, Abby Fana ketika dia menjadi juri Pencetus Ummah musim lalu.

“Walaupun dia sebagai sumber rujukan namun saya akan melontarkan pandangan dan kritikan dengan cara tersendiri,” katanya.

PU4 akan bersiaran secara langsung dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), jam 9 malam, dipancarkan di Astro Oasis (106) dan serentak di Maya HD (135).

Faizal dan Fara adalah bekas penyampai radio Era FM iaitu stesen radio milik Astro, kemudian mereka bekerja di Hot FM.

Lalu ‘pertemuan’ semula mereka di Astro walaupun menggalas tanggungjawab berbeza diharap dapat menghasilkan sesuatu pada masa akan datang.

“Saya gembira apabila dapat tahu Faizal ada sama dalam PU4 dan siapa tahu barangkali program dakwah ini menjadi titik pertemuan untuk kami muncul dalam program lain pula,” katanya.

Dalam perkembangan lain, selepas membatalkan perkahwinannya September lalu, kehidupan Fara berjalan seperti biasa dan turut sibuk membuat persediaan sebelum Muzik Muzik separuh akhir menyusul sekitar November depan.
Powered by Blogger.