F Persembahan Koir Kebangsaan Malaysia tarik perhatian | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Persembahan Koir Kebangsaan Malaysia tarik perhatian

KOIR Kebangsaan Malaysia (KKM) sekali lagi mencatat kenangan manis apabila Konsert Wajah yang berlangsung di Panggung Seri, Kompleks JKKN, Ayer Keroh, Melaka baru-baru ini mendapat sambutan hebat dari penonton.

Meski diadakan di luar Kuala Lumpur, sambutan begitu memberangsangkan apabila penonton memenuhi seluruh dewan selama dua malam berturut-turut.

Berbeza dengan konsert terdahulu, kali ini KKM mengangkat tema inspirasi lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam pelbagai genre muzik seperti jazz, klasik, tango, acapella, rock dan sebagainya yang digubah semula dalam bentuk vokal yang harmoni.

Menurut Pengarah Vokal dan Persembahan, Syafinaz Selamat, KKM membuat pelbagai improvisasi dalam membentuk nyanyian koir yang lebih menarik untuk konsert istimewa ini.

“Kita sudah biasa dan sering mendengar lagu-lagu P. Ramlee dengan muzik asal, jadi kali ini KKM membuat sedikit kelainan dengan memberi nafas baru kepada gubahan muziknya.

“Secara tidak langsung menunjukkan lagu-lagu Allahyarham sangat versatil sebenarnya di mana kita boleh modenkan muziknya dalam pelbagai elemen yang sesuai dengan trend semasa,” ujar Syafinaz yang sentiasa tampil dengan idea kreatifnya.

Sepanjang hampir dua jam persembahan berlangsung, penonton dihiburkan dengan seleksi 21 buah lagu seperti Getaran Jiwa, Azizah, Gelora, Bunyi Gitar, Tunggu Sekejap, Madu Tiga, Menceceh Bujang Lapok, Berkorban Apa Sahaja, Ali Baba dan sebagainya di samping petikan video filem lakonan Allahyarham.

Ternyata lagu-lagu seniman agung ini tetap malar segar dan relevan untuk terus diperdengarkan meski masa dan zaman berubah.

Kejayaan konsert ini turut disokong persembahan hebat daripada 22 ahli koir yang bukan sahaja tampil dengan vokal yang hebat, tetapi juga gerak tari cantik sekaligus membuktikan usaha serta komitmen mereka yang tidak berbelah bahagi untuk menghiburkan penonton.



Sambutan hebat

Penolong Vokal Master, Nurul Nadieya Awang yang juga salah seorang ahli koir menyifatkan konsert kali ini cukup istimewa kerana ia bukan sahaja menampilkan lagu-lagu P. Ramlee yang biasa didengar, sebaliknya pilihan yang jarang dipersembahkan di mana-mana.

“Selain lagu-lagu popularnya, kami memilih untuk mengetengahkan lagu-lagu Allahyarham yang jarang diperdengarkan kepada penonton dalam sebuah persembahan besar, misalnya Do Re Mi, Menceceh Bujang Lapuk, Bertemasya dan sebagainya.

“Tujuannya adalah supaya lagu-lagu itu lebih dikenali dan mesra di telinga penonton sebagaimana maklum balas yang kami terima ketika persembahan berlangsung, ” ujarnya yang bertanggungjawab menjalankan sesi vokalise suara setiap ahli koir.

Manakala Eizhar Idris yang pernah menjayakan empat konsert bersama KKM sebelum ini pula meluahkan rasa gembira apabila persembahan mereka mendapat sambutan hebat daripada penonton meskipun ia berlangsung di luar Kuala Lumpur.

“Cabaran utama kami di sini adalah untuk mempersembahkan sesuatu yang luar biasa tetapi masih boleh diterima penonton dan tidak lari dari konsep lagu-lagu P Ramlee itu sendiri. Kami bukan hanya menyanyi secara harmoni tetapi perlu menari bagi menghasilkan satu persembahan yang menarik.

“Alhamdulillah penonton memberikan maklum balas yang sangat baik sebagaimana kami terima di Kuala Lumpur dan ia membuatkan kami rasa bersemangat untuk melakukan persembahan di luar ibu kota supaya lebih ramai orang akan mengenali Koir Kebangsaan Malaysia,” katanya teruja.

Selepas mencipta kejayaan di Melaka, Konsert Wajah hasil kerjasama Persatuan Rebana Keras, dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia ini akan di bawa ke Ipoh, Perak pada 4-5 November hadapan.
Powered by Blogger.