F Perhitungan Terakhir Dalam 'Juvana 3' Penuh Aksi, Mendebarkan | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Perhitungan Terakhir Dalam 'Juvana 3' Penuh Aksi, Mendebarkan

BERMULA dengan drama bersiri yang ditayangkan pada 2011, trilogi Juvana akhirnya sampai ke penghujungnya apabila pengarahnya Faisal Ishak memberitahu Juvana 3: Perhitungan Terakhir adalah yang penghabisan.

Disebalik Juvana dituduh sarat dengan elemen negatif seperti gansterisme dan mengalakkan budaya tidak sihat dikalangan anak muda, kita tidak boleh menyangkal Juvana telah bertukar sebagai satu jenama kuat.

Kemunculan watak seperti Botak, Daim dan Ayam tidak dapat dinafikan kesannya kepada penonton kerana keberkesanan lakonan mereka menyentuh hati penonton.

Naskah terakhir Juvana, Faisal berjaya menebus kekurangan pada siri sebelumnya iaitu Juvana 2: Terperangkap Dalam Kebebasan yang kurang mendapat sambutan penonton.


Kelonggaran pada filem tersebut rupa-rupanya adalah kekuatan karya terakhirnya itu dan Faisal menyimpan semua klimaks untuk Juvana 3: Perhitungan Terakhir.

Diterbitkan bersama Filmscape Sdn Bhd, Juita Viden Sdn Bhd serta Star Media Group Berhad, Faisal berjaya menghidupkan filem arahannya itu yang bukan sahaja sarat dengan elemen aksi tetapi sarat dengan mesej positif.

Skrip yang ditulis Alfie Palermo juga kemas dan tidak meleret dan ia masih berpaksikan kesinambungan daripada sekual keduanya sebelum ini.

Plot penceritaan dan jalan ceritanya juga masih mempunyai elemen kejutan yang dapat memberi persoalan kepada penonton.


Juvana 3: Perhitungan Terakhir merupakan kesinambungan dari sekuel terdahulu yang memperlihatkan Botak, Daim dan Ayam menyedari perjanjian mereka bertiga dengan Raja demi membebaskan Sara, ayah Botak dan adik-beradik Apek telah memakan diri.

Terperangkap dalam permainan Raja, persahabatan mereka turut sekali lagi teruji apabila Raja dengan bijak memanipulasi dan melaga-lagakan mereka hingga masing-masing mencurigai antara satu sama lain.

Dalam situasi yang semakin menghimpit, harapan Botak, Daim dan Ayam terletak pada rakan-rakan mereka yang lain untuk menyelamatkan mereka sebelum terlewat.

Sementara itu, Faisal dan penulis skrip mengambil tindakan bijak apabila memfokuskan pada naskah penutup ini kepada kebanyakan watak asal dalam drama bersiri Juvana sebelum ini.

Ia sekaligus dapat mengimbau memori selain menguatkan lagi jalan cerita disampaikan.


Aksi yang dipaparkan dalam Juvana 3: Perhitungan Terakhir juga mendebarkan namun ia tidak terlalu ekstrem.

Faisal menyeimbangkan babak aksi dengan menyelitkan pelbagai mesej positif terutama tentang erti persahabatan dan pengorbanan.

Tidak seperti diperkatakan oleh sesetengah pihak yang melihat filem berkenaan sebagai medium penularan gejala negatif, ia sebenarnya penuh dengan pengajaran.

Menyentuh tentang lakonan, ia tidak perlu dipertikaitkan lagi kerana semua barisan pelakon memberi persembahan yang mantap dan meninggalkan kesan di hati penonton.

Secara keseluruhannya, Juvana 3: Perhitungan Terakhir adalah sebuah naskah harus ditonton terutamanya peminat setia naskah berkenaan kerana ia memberi semua jawapan yang tidak terjawab sebelum ini.


Powered by Blogger.