F OGY - 'Artis tak hadir bukan masalah' | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

OGY - 'Artis tak hadir bukan masalah'

Sepanjang mengendalikan Ye Ke?, Ogy akui artis tidak datang atau lewat tiba di lokasi memang berlaku tetapi sebagai pengacara, dia tidak perlu ambil tahu semua masalah itu. Baginya, itu tanggungjawab penerbit dan kru.

Ye Ke? adalah program rakaman yang membincangkan isu-isu serta gosip terkini bersama artis jemputan dan dihoskan Ogy bersama AG.

Kata Ogy, ada kalanya dia tidak tahu pun tetamu yang sepatutnya ada tidak datang kerana semua itu berlaku di belakang. Sebagai pengacara, dia menjalankan tugasnya dan perlu meneliti skrip untuk ditanya kepada tetamu.


“Apabila berlaku masalah tetamu diundang tidak hadir, saya perlu bijak menangani perkara itu. Contohnya elak guna soalan untuk tetamu itu kepada tetamu lain. Ada masanya masih boleh digunakan tetapi perlu disesuaikan dengan tetamu yang hadir.

“Paling penting, kerja harus diselesaikan dan rakaman berjalan lancar. Sebagai orang berpengalaman, perlu ada plan sokongan apabila berhadapan situasi ini.


“Malah pernah berlaku sebelum ini ada tetamu tidak hadir pada saat akhir, saya tawarkan diri menjadi tetamu undangan. Saya buat dua kerja dalam satu masa.

“Apa-apa masalah yang berlaku kepada penerbitan, saya tidak mahu merungut, sebaliknya cuba membantu sebaik mungkin,” katanya.

Sebagai orang lama, nasihat Ogy buat artis baru supaya menghormati kerjaya sendiri dan disiplin kerja sangat penting. Ia perlu diletakkan pada kedudukan paling atas.

Katanya, mereka harus sedar ia bukan hanya membabitkan diri mereka tetapi banyak pihak dari penerbit, pengarah, juru kamera dan rakan artis lain.

Pada Isnin juga, Ogy meneruskan tugasnya sebagai pengacara untuk musim baru Ye Ke? membabitkan dua episod iaitu Hero Heroin Malaya bersama Datuk Jalaluddin Hassan, Fahrin Ahmad, Umie Aida, Ungku Ismail dan Nadia Aqila.

Satu episod lagi, Warga Emas Merempat membabitkan Jalil Hamid, Ruminah Sidek, Rashid Sibir, Zack Kool dan Fauzi Nawawi.

“Alhamdulillah semua datang tepat pada masanya dan rakaman berjalan dengan lancar,” katanya.

Pada hari itu juga, Ogy meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-54. Malah penerbit Ye Ke?, Roslina Abd Rahman atau Ayong bersama kru membuat kejutan meraikannya di rumah Ogy.

Selain Ye Ke?, Ogy juga sibuk di lokasi penggambaran drama Jejak Karmila untuk slot Zehra di TV3 yang turut dijayakan Wan Sharmila, Johan Asa’ri, Mia Ahmad, Ruhainies dan Fauziah Nawi.

Ogy bersyukur hingga kini masih menjadi pilihan pengarah dan penerbit untuk watak utama dan penting dalam drama.

“Alhamdulillah, hasil kerja saya dihargai dan selalu menang anugerah. Tiada apa-apa rahsia selain semua itu berkat kesabaran dan kegigihan saya dalam bidang yang saya cintai ini,” katanya.
Powered by Blogger.