F Nomad kembali aktif warnai industri | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Nomad kembali aktif warnai industri

MEMILIH untuk berehat seketika daripada dunia hiburan, Nomad tidak menganggapnya sebagai perbuatan yang sia-sia.

Penyanyi yang mencipta nama menerusi lagu Tetap Menantimu ini sebaliknya merasakan ia adalah waktu terbaik untuk memperbaiki kelemahan diri.

"Tujuan utama saya berhenti menyanyi adalah untuk mengasah kembali bakat seterusnya membina keyakinan diri.

"Lagipun, saya sebenarnya lebih terdedah kepada kerja-kerja di belakang tabir, sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian.

Atas dasar itu, penyanyi berusia 28 tahun ini mengakui tidak dapat mengawal rasa gemuruh apabila terlibat dalam persembahan secara langsung di kaca televisyen.

"Saya mengakui agak terkejar-kejar apabila lagu Tetap Menantimu berjaya ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik ke-28.

"Bahkan, ia memberi satu tamparan hebat dan saya tidak bersedia untuk melaluinya.

"Jujurnya, saya boleh menyanyikan lagu itu dengan baik hanya selepas setahun," katanya.

Kini, selepas setahun bermuhasabah, pemilik nama sebenar Nur Mohd Alieef Ayub ini hadir dengan azam baharu di dada.

Justeru, serius meneruskan kariernya, Nomad mengambil keputusan untuk bernaung di bawah syarikat pengurusan, Hikayat Records, sejak beberapa bulan lalu.

"Apabila sudah duduk di bawah satu label tertentu, itu bermakna saya serius untuk kembali menyanyi.

"Malah, saya juga sudah bersedia untuk terlibat dalam sebarang aktiviti persembahan pentas.

"Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya membentuk keyakinan diri," katanya.

Tidak mahu lagi terus menunggu, Nomad mengakui mempunyai perancangan yang lebih teliti terhadap kerjaya seninya.

Terbaru, Nomad sedang dalam proses mempromosikan single duet sulungnya, Lebih Dari Terindah bersama Dayah Bakar.

"Saya tidak pernah bernyanyi secara duet. Ia agak unik, menarik dan mencabar.

"Dayah memberi kerjasama yang baik dan segalanya berlaku dengan berjalan lancar," katanya.

Lebih menarik, katanya, Lebih Dari Terindah tidak hanya menampilkan lagu semata-mata, tetapi juga hasil kolaborasi bersama pelukis tersohor, Yusof Ghani.

"Pak Yusof adalah pelukis tersohor dan karyanya sangat dikagumi oleh pencinta seni.

"Satu peluang besar buat saya dan Dayah apabila dapat bekerjasama dengan tokoh seni sepertinya.

"Dia mendengar lagu ini dan secara automatik, tangannya mula melukis di kanvas. Apa yang dilukisnya adalah abstrak dan memberi erti tersendiri mengenai jalan cerita di dalam lagu itu," katanya.

Dalam pada itu, Nomad juga sedang dalam perancangan untuk membikin sebuah album, tidak lama lagi.

"Selepas lagu Lebih Dari Terindah, Insya-ALLAH, saya akan mengeluarkan single terbaru, Maaf, sekitar awal tahun depan.

"Buat masa ini, saya masih lagi dalam proses mengumpul material. Setakat ini, baharu ada empat lagu dalam simpanan. Kita harus pilih lagu yang terbaik dan saya menyerahkan semuanya kepada yang pakar. Jujurnya, saya sendiri tidak memilih mana-mana komposer kerana apa yang penting adalah kualiti," katanya.

Cuba berlakon?

Tidak hanya menyanyi, Nomad turut dilihat berjinak-jinak dalam bidang lakonan.

Malah, pelantun lagu Sorry Sorry Sayangku ini pernah membintangi telefilem, Salah Susuk Raya bersama kumpulan Bocey, Syatilla Melvin dan Kilafairy.

Kata Nomad, pembabitannya sebagai pelakon hanya secara kebetulan dan sekadar mahu mencuba dan mengenal pasti bakat lakonan dimiliki.

"Ya, memang saya pernah berlakon. Tapi, jiwa saya nampaknya lebih terarah pada nyanyian.

"Walaupun kelihatan macam boleh berlakon, sebenarnya saya kurang selesa. Saya juga sedar saya bukan jenis yang suka menunggu dan duduk lebih lama di lokasi penggambaran.

"Jadi, saya lebih selesa untuk berfokus sebagai penyanyi kerana tidak memerlukan masa lama," katanya.

Pun begitu, Nomad tidak menolak sekiranya diberi peluang untuk berlakon sekali lagi.

"Kalau sekadar watak biasa-biasa, mungkin saya akan mempertimbangkannya.

"Jika hendak diikutkan, terlibat dalam pembikinan video klip pun boleh dikira sebagai berlakon.

"Jadi, saya mahu selesakan diri dengan watak-watak yang agak ringan sebelum berkembang kepada karakter lain yang lebih berat," katanya yang mahu menjadi seperti Aaron Aziz
Powered by Blogger.