F ‘Mujur tak vakum merkuri’ | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

‘Mujur tak vakum merkuri’

"Mujur kami tak vakum merkuri yang tumpah. Kalau tak, gasnya mungkin merebak dalam rumah dan berbahaya, lebih-lebih lagi kepada bayi kami yang baru berusia 44 hari," kata Mohd Hafiz Jamaludin, 28, yang berdepan detik cemas apabila berlakunya tumpahan merkuri di dalam rumahnya di Lorong Sepakat 8, Taman Panalex, Kerteh, di sini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin selepas bapa dua anak itu menjumpai satu termometer lama di atas rak buku ketika sedang mengemas ruang tamu sebelum termometer itu terjatuh dari tangan menyebabkan ia pecah dan merkuri tertumpah atas lantai.

Ekoran itu, pekerja sebuah syarikat swasta itu bertindak mengumpul serpihan kaca termometer itu dengan menguisnya menggunakan sebatang pen sebelum meletakkannya ke atas sekeping kertas untuk membuangnya.

“Saya juga cuba lap cecair merkuri itu dengan tisu tapi cecair itu tak meresap, saya jadi tak sedap hati dan saya lakukan carian maklumat mengenai kejadian tumpahan merkuri menerusi Google.

“Lepas Google, baru dapat tahu merkuri sangat bahaya dan ramai yang alami kes tumpahan merkuri itu hubungi pasukan bomba untuk dapatkan bantuan. Kemudian saya tutup kipas siling dan buka langsir,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, petang semalam.

Saki baki merkuri bawah rak, meja

Mohd Hafiz berkata, ketika kejadian, anak sulungnya, Nu’man yang berusia tiga tahun sedang nyenyak tidur di ruang tamu di tingkat bawah manakala isterinya, Iylia Ayuni Mohamad Rodzi, 27 tahun dan bayi mereka, Aisya sedang tidur di tingkat atas.

Berikutan hari sudah lewat malam, Mohd Hafiz bertindak menghubungi pasukan bomba dan penyelamat keesokannya iaitu kira-kira jam 7.08 pagi sebelum Unit Hazmat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kerteh tiba 15 minit kemudian dengan kekuatan enam anggota.

Katanya, selepas pemeriksaan dilakukan, anggota bomba berjaya mengesan saki baki merkuri di bawah rak dan meja sebelum bertindak membersihkannya.

"Kerja-kerja pembersihan siap dalam tempoh kira-kira dua jam.

“Kejadian merkuri tumpah ini nampak remeh dan ada yang pegang dengan tangan merkuri tapi sebenarnya ia satu perkara yang serius. Saya bersyukur sebab tak pegang dengan tangan cecair itu. Justeru itu, mereka yang alami kejadian ini perlu tenang dan hubungi pihak sepatutnya untuk dapatkan pertolongan,” katanya.

Dalam pada itu, Iylia Ayuni berkata, dia menyedari merkuri tertumpah sejurus tersedar daripada tidur dan melihat suaminya sedang menguis dan mengutip serpihan kaca termometer.

“Saya tahu merkuri bahaya sebab pernah baca dalam laman sosial Facebook. Alhamdulillah kerana cecair pekat itu tidak divakum, kalau tidak ia lebih bahaya,” katanya.

Bersih guna sulfur dan cecair peluntur

Dalam pada itu, Pegawai Operasi BBP Kerteh, Kamaruddin Mohamad berkata, saki baki merkuri yang ditemui dibersihkan menggunakan sulfur dan cecair peluntur.

Beliau berkata, empat beranak terbabit pula diarahkan agar merujuk klinik kesihatan berdekatan untuk melakukan pemeriksaan kerana pendedahan kepada merkuri boleh memberi kesan negatif terutama melibatkan gangguan saraf.

"Pencemaran merkuri boleh merebak melalui sistem pernafasan, makanan dan suntikan justeru pemeriksaan perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlaku.

“Kami juga menasihatkan tuan rumah agar membuang semua peralatan yang terkena merkuri termasuk karpet dan kain,” katanya.
Powered by Blogger.