F 'Miss Peregrine’s Home for Peculiar Children' Superhero Imaginasi Tim Burton | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

'Miss Peregrine’s Home for Peculiar Children' Superhero Imaginasi Tim Burton

SEBAGAI peminat filem tegar, penulis harus akui bahawa sutradara esentrik bernama Tim Burton merupakan salah seorang pengkarya filem yang cukup diminati lantaran subjek setiap filem arahannya berbeza dengan pendekatan pengarah sezamannya.

Bagi mereka yang mengikuti perkembangan Burton, pastinya cukup kenal dengan pendekatan beliau yang cukup selesa dengan sisi gelap, suram, pelik dan ada ketikanya menakutkan namun, mengekalkan satu acuan yang mana peminatnya tahu ia adalah ‘cop mohor’ Burton sebagai seorang pengarah.

Bukan hanya persekitaran sedemikian yang menjadi trademark Burton tetapi setiap filem arahannya, beliau akan memastikan semuanya harus mempunyai elemen ekstravaganza terutama aspek penataan seni, kostum, tatarias dan skor muzik bagi memberikan spectacle viewing kepada penonton.

Bukan hanya filem cereka tetapi sentuhan itu dapat dilihat menerusi dua filem animasi arahannya, Frankenweenie (2012) dan Corpse Bride (2005).

Disebabkan itu, Burton dilihat sebagai seorang auteur yang berada dalam liga dan kelasnya tersendiri dan mampu meninggalkan impak yang bukan sedikit terhadap setiap filem arahannya.


Sekadar berkongsi, Sweeney Todd: The Demon Barber of Fleet Street (2007), Big Fish (2003), Sleepy Hollow (1999), Ed Wood (1994) dan Edward Scissorhands (1990) merupakan antara karya Burton yang cukup digemari penulis dan tidak bosan menontonnya berulang kali.

Lantaran itu, setiap kali Burton mengumumkan projek baharunya, penulis sentiasa teruja untuk melihat hasilnya biarpun seperkara yang harus diakui bahawa bukan semua filem arahannya mendapat ulasan positif daripada pengkritik serta mencatatkan keuntungan luar biasa.

Justeru, apabila menonton trailer filem Miss Peregrine’s Home for Peculiar Children yang diarahkan Burton, penulis tidak mahu melepaskan peluang kerana sedutan filem tersebut sahaja bagaikan sudah memberi indikasi bahawa Burton menjanjikan sesuatu yang luar biasa untuk filem berkenaan.

Bahkan sebelum menontonnya, penulis melihat ia sebagai karya imaginasi dan fantasi Burton dalam menghasilkan filem superhero mengikut acuannya sendiri biarpun Miss Peregrine’s Home for Peculiar Children sebenarnya diadaptasi daripada novel terlaris karya Ransom Riggs.

Selepas menontonnya, adakah penulis berpuas hati atau kecewa dengan penghasilan Burton kali ini? Pertamanya, penulis tidak akan mengatakan ini adalah filem terbaik Burton mahupun filem terburuknya (setakat ini sentuhan tidak menjadinya bagi penulis ialah filem Dark Shadows pada tahun 2012).


Secara zahirnya, Burton masih belum hilang magis untuk mengenengahkan kegelapan dan kesuraman dalam filem ini seperti mana dalam filem-filem popularnya sebelum ini terutama pemilihan lokasi yang bertepatan.

Walaupun Miss Peregrine’s Home for Peculiar Children bukanlah karya asal Burton tetapi sebagai pengarah, Burton bijak menggunakan setiap minit untuk memastikan visual di layar kelihatan hidup dan realistik menerusi lakon layar oleh Jane Goldman.

Lebih menarik apabila setiap watak kanak-kanak pelik atau dirujuk sebagai peculiar children berikutan kelebihan yang dimiliki oleh mereka dikembangkan dengan baik lalu membuatkan audiens mengenali setiap watak yang ditampilkan tanpa ada yang tertinggal.

Masing-masing memiliki kuasa dan personaliti pelik yang membuatkan penonton begitu dekat dengan mereka. Disebabkan itu, penulis melihat karya ini sebagai unik dan tidak salah untuk mengatakan, ia seperti kelompok mutan dalam siri X-Men.

Cuma, dari sudut pandang penulis sebagai seorang penonton, tidak puas menonton kelebihan yang dimiliki kumpulan kanak-kanak itu dan sebagai peminat, penulis mengharapkan Burton mampu melakukan lebih daripada itu.

Akan tetapi, di sinilah terletaknya kebijaksanaan Burton sebagai seorang pengarah apabila beliau mahu filem ini kelihatan realistik dan tidak mahu menganggap penonton melihat Miss Peregrine’s Home for Peculiar Children sebagai sebuah filem superhero seperti lazimnya.

Malah, penulis percaya akan ada filem sekuel yang menyusul memandangkan dua buah novel selepas Miss Peregrine’s Home for Peculiar Children iaitu Hollow City dan Library of Souls sudah pun diterbitkan.

Menyentuh tentang lakonan pula, jujurnya, tiada apa yang ekstravaganza boleh diperkatakan. Pemilihan Eva Green sebagai Alma Peregrine boleh disifatkan sebagai tepat kerana personaliti, bahasa tubuh dan penyampaian dialog bekas gadis Bond itu sangat menyakinkan untuk watak dalam filem fantasi seperti ini.

Pemegang watak protagonis, Asa Butterfield sebagai Jacob Portman atau Jake dilihat sebagai lemah dan tidak bertenaga sebagai seorang hero.

Dalam erti kata lain, aktor remaja itu kelihatan lembik dan tidak berupaya memberikan kesan terutama babak romantik bersama Ella Purnell sebagai salah seorang peculiar children bernama Emma.

Lebih ‘menyedihkan’ apabila pelakon hebat seperti bekas pemenang Oscar, Judi Dench tidak berkembang wataknya dan hanyalah sekadar sampingan yang tidak meninggalkan impak.

Begitu juga dengan watak Mr. Barron lakonan bekas calon Oscar, Samuel L. Jackson yang tidak begitu ‘menakutkan’.

Kelebihan filem Miss Peregrine’s Home for Peculiar Children sebenarnya terletak kepada setiap inci kecemerlangan visualnya dan Burton tidak pernah gagal dari aspek itu.

Namun, untuk memperkatakan tentang aspek naratif, ia seharusnya boleh dikembangkan dengan lebih baik lagi untuk menjadikan ia sebagai sebuah masterpiece Burton.


Powered by Blogger.