F Lega Hanyut Ke Pawagam Tapi Bebannya Belum Lagi Habis - U-Wei | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Lega Hanyut Ke Pawagam Tapi Bebannya Belum Lagi Habis - U-Wei

Penantian selama empat tahun pengarah tersohor, U-Wei Hj Saari, yang mengimpikan filem bikinannya, Hanyut, ditayangkan akhirnya terjawab apabila karya keenammnya itu bakal menemui para penonton tanah air mulai 24 November depan.

Tiada perkataan lain dapat beliau luahkan selain bersyukur dan lega apabila setelah sekian lama tayangan filem tersebut tertangguh atas sebab terutama masalah keewangan yang sekaligus membantutkan perlaksanaan rangka promosi yang dirancang.

"Saya sangat bersyukur dan lega akhirnya Hanyut akan ditayangkan di sini. Kelewatan tayangan filem ini disebabkan saya memerlukan sejumlah wang, malangnya saya mampu untuk mendapatkan wang itu dan kerana itu banyak perkara yang dirancang untuk mempromosikan filem ini tidak dapat dilaksanakan.

"Tapi saya yakin masanya akan tiba. Walaupun saya tidak dapat jumlah wang yang diperlukan, saya tetap nekad untuk keluarkan filem ini dan promosi dari pihak kami sangat terhad. Saya percaya, semua ini ada hikmahnya," katanya ketika ditemui pada majlis Melayar Poster Raksasa Hanyut, bertempat di hotel AnCasa, Kuala Lumpur, kelmarin.

Poster bersaiz 720 kaki itu dilayarkan di Banggunan Cahaya Suria. Turut hadir pada majlis tersebut, barisan teraju Hanyut antara Adi Putra, Diana Danielle, Kalid Salleh, Anwar Idris dan Normah Damanhuri.

Di sebalik kegembiraan itu, U-Wei bagaimanapun berkata, 'bebannya' sebagai pengarah belum lagi tamat.

"Beban saya sebagai pengarah belum selesai. Sekarang ini saya berikhtiar supaya Hanyut ditonton ramai. Saya percaya pada projek ini malah kru produksi dan barisan pelakon juga percaya pada projek ini.

"Susah kita nak dapatkan satu dunia setuju dengan kita. Sebagai pembikin filem, ada padahnya. Kalau tidak ada padah, orang itu tidak akan jadi pembikin filem. Ini lah yang harus saya hadapi. Membuat filem pasti ada masalah, tetapi saya berharap biarlah masalah itu masalah kreatif bukan masalah yang remeh-temeh," ujarnya.

U-Wei Hj. Saari ketika pembikinan filem Hanyut.U-Wei Hj. Saari ketika pembikinan filem Hanyut.

Menerima hakikat akan ada beberapa filem lain termasuklah filem Hollywood yang khabarnya lebih berpotensi besar mencapai kutipan pecah panggung namun U-Weii tidak menganggap filem-filem berkenaan sebagai persaingan kepada Hanyut.

Tidak mahu terlalu meletakkan harapan tinggi namun sutradara yang namanya pernah diangkat menerusi naskahnya seperti Kaki Bakar, Jogho dan Buai Laju-Laju optimis bahwa Hanyut akan memberikan sesuatu yang berbeza sekaligus sebagai penanda aras yang baharu dalam pembikinan filem tempatan.

"Saya tidak tahu sama ada ini masanya yang betul-betul sesuai atau tidak untuk Hanyut ditayangkan tetapi saya tidak melihat dan menganggap filem-filem lain yang juga akan ditayangkan nanti sebagai persaingan.

"Malahan saya senang dan hormat dengan kepelbagaian filem lain. Tetapi apa yang penting sekarang saya perlu yakinkan diri saya dan berdoa agar saya ada tuah. Saya berusaha keras untuk membuktikan kenapa Hanyut wajid ditayangkan. Kalau tidak sekarang, bila lagi?," tuturnya dengan nada penuh yakin.

Kenangan Arwah Isteri

Menelan kos pembikinan sebanyak RM18 juta, Hanyut diadaptasi berdasar novel pertama nukilan Joseph Conrad yang bertajuk, Almayer's Folley. Mengisahkan tentang Almayer, seorang peniaga Belanda berjuang untuk meneruskan kehidupan di Borneo pada pertukaran abad ke-19.

Dia berimpian untuk menemui gunung emas yang dianggap mitos, tetapi ditentang oleh isterinya yang licik, kerajaan penjajah, politik dari pusat daerah dan pedagang Arab, dan cinta putrinya terhadap seorang pahlawan Melayu yang inginkan kebebasan.
Menjalani pengambaran di Kuala Lipis, Pahang, filem epik ini berlatarbelakangkan zaman penjajahan di Tanah Melayu sekitar tahun 1837.

Dalam pada itu U-Weii mendedahkan sebab beliau mempunyai keinginan yang tinggi untuk menghasilkan filem ini meskipun awalnya berdepan dengan masalah keewangan kerana naskah ini punya nilai sentimental tersendiri buat dirinya disamping ada beberapa perkara yang menarik perhatiannya.

"Kenapa saya mahu buat filem ini dan kenapa pilih adaptasi novel? Sebabnya, arwah isteri pertama saya, beliau memang seorang yang memahami saya kadang-kadang tu lebih dari diri saya sendiri. Beliau berikan saya tiga novel untuk saya baca dan salah satunya adalah novel ini.

"Selepas membacanya rasa saya perlu buat. Anda semua, tentunya tidak akan berkata tidak terhadap isteri anda, bukan?, tanyanya kepada wakil-wakil media lelaki sambil tersenyum.

"Selain itu, saya tertarik dengan tema dan bibit-bibit novel ini. Misalnya, ia tentang orang putih yang tinggal dalam alam kita, beliau bercerita tentang alam saya dari kaca mata dia. Tidak ramai orang luar yang menulis tentang perempuan Melayu tanpa memperlekehkan kaum tersebut.

"Dalam tulisannya, Joseph Conrad mengakui beliau tidak faham tentang perempuan Melayu. Itu yang buat saya tertarik! Sebab, saya pun tidak faham tentang perempuan Melayu. Bahkan beliau menggambarkan keadaan sekeliling masyarakat kita dengan begitu jelas sekali bukan sekadar hanya latar belakang," terangnya dengan panjang lebar.

Hanyut turut membariskan pelakon hebat Nusantara antaranya Sofea Jane, Bront Palarae, Sabri Yunus, James Corley, Allahyarham Alex Komang, Patrick Teo serta bintang Amerika Syarikat Peter, O'Brien dan James Corley.

Filem terbitan TanaSdn Bhd ini telah pun ditayangkan di Indonesia pada tahun 2014 juga pernah ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa seperti di Singapura, di Canberra, Australia, di Warsaw, Porland dan meraih anugerah Lakon Layar Terbaik pada Anugerah Skrin Pacific, di Brisbane, Australia.
Powered by Blogger.