F Konflik, pergolakan emosi isteri | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Konflik, pergolakan emosi isteri

LARI sedikit daripada tipikal watak wanita yang sering digambarkan sebagai lemah dan sering jadi mangsa kepada kepada lelaki, naskhah teater Perempuan Perang terbitan Cube Art Stage ini tampil sebaliknya.

Watak wanita digambarkan seorang yang kuat dan cekal dalam mendepani konflik dan pergolakan jiwa yang dihadapi setelah suaminya terlibat dalam pertuduhan jenayah liwat. Biarpun diasak pelbagai tekanan, dia cuba bangkit mempertahankan maruah suami, anak-anak dan keluarga yang dikasihinya.

Kekuatan naskhah ini jalan cerita menarik serta lakonan yang berjaya. Meskipun hanya dengan gandingan tiga watak, cerita yang ingin disampaikan sampai kepada penonton.

Menerusi babak pada awal, penonton diperkenal dengan watak utama berselang-seli dengan kekalutan dilalui mereka selepas mala petaka yang mula menghuru-harakan kehidupan mereka.

Sepintas lalu, mungkin ada yang melihat naskhah ini mempunyai sedikit persamaan dengan kisah melibatkan tokoh politik negara, namun pengarah, penulis skripnya yang juga merupakan pelakon utama teater ini, Afiza Asram mempunyai jawapan tersendiri.

“Idea asal naskhah ini lahir daripada pemerhatian saya dan rakan-rakan terhadap pelbagai situasi yang berlaku dalam masyarakat hari ini. Tidak dinafikan awalnya kisah ini diinspirasi daripada kejadian yang pernah menggegarkan negara suatu ketika dahulu di mana ia melibatkan seorang individu yang cukup dikenali dalam masyarakat. Namun ia hanyalah inspirasi awal tentang konflik yang dihadapi seorang isteri dan wanita. Ia tidak ada kaitan politik. Secara keseluruhannya, apa yang dipaparkan dalam naskhah ini adalah fiksyen semata-mata.

“Skrip ditulis secara serius pada Jun lalu dengan beberapa rombakan untuk memantapkan lagi naskhah. Kami banyak buat kajian kerana mahu tampilkan naskhah yang mampu beri sesuatu kepada penonton. Kami tidak mahu mereka sekadar datang menonton, sebaliknya merenung apa kami cuba sampaikan,” ujar Afiza yang memegang watak sebagai Laila.

Afiza yang juga pengarah bersama KN Ridzuan mengakui turut berdepan cabaran sepanjang mementaskan naskhah kedua arahannya ini.

“Cabaran utama saya memastikan apa yang ingin kami sampaikan iaitu kekuatan luar biasa seorang wanita mendepani konflik sampai kepada penonton. Jadi, pelbagai aspek perlu diambil kira termasuk memastikan agar penonton tidak terlalu mengaitkan kisah ini dengan mana-mana individu kerana ia hanyalah fiksyen semata-mata.

“Selain itu, mengarah dalam masa yang sama turut berlakon bukanlah tugas mudah. Saya tidak dapat duduk betul-betul melihat visual secara keseluruhan kerana turut memainkan peranan sebagai pelakon

"Jadi, saya perlukan mata orang lain untuk membantu saya dalam proses itu,” katanya yang sebelum ini pernah mengarah Teater 3 Ulang Tahun (2014).

Barisan pelakon mantap

Pengarah muda ini menyifatkan dirinya cukup bertuah kerana berpeluang bekerjasama dengan pelakon hebat seperti Khairunazwan Rodzy dan Hushairi Husain (Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik FFM28) sebagai teraju utama.

“Saya bernasib baik kerana dapat bekerja dengan mereka berdua. Saya hanya beri mereka panduan tertentu dan selebihnya mereka berdua mencorakkan watak dengan cara tersendiri. Pengalaman dan komitmen mereka membantu mantapkan naskhah ini,” jelas Afiza.

Sementara itu, Kharunazwan yang memegang watak sebagai Ibrahim pula menyifatkan penglibatannya dalam naskhah ini kerana tertarik dengan skrip dan jalan cerita. Tema yang mengangkat kekuatan seorang wanita mendepani konflik luar biasa menarik minatnya.

“Sebenarnya saya sudah lama tidak berlakon kerana aktif dalam kerja pengarahan. Jadi tawaran yang diberikan Afiza agak mengejutkan saya pada mulanya, namun bila melihat skrip dan mendalami naskhah ini, saya mula teruja menjadi sebahagian daripada pementasan ini.

Naskhah Perempuan Perang dipentaskan pada 23 hingga 25 September dan 29 September hingga 2 Oktober lalu di Studio RS, Dataran Pelangi, Petaling Jaya.

Powered by Blogger.