F Kim Kardashian Sangka Jadi Mangsa Rogol Lima Perompak Di Paris | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Kim Kardashian Sangka Jadi Mangsa Rogol Lima Perompak Di Paris

BINTANG siri realiti dan media sosial, Kim Kardashian mendedahkan yang dia khuatir akan menjadi mangsa rogol oleh lima lelaki yang memecah masuk ke apartmennya di Paris pada awal pagi Isnin dan mencuri barangan kemas serta intan permata berjumlah berjuta-juta dolar.

Ini kerana menurut Kim, dia yang hanya memakai jubah mandi ketika rompakan itu berlaku telah diikat dan dikurung di dalam bilik mandi oleh perompak-perompak berkenaan, lapor portal hiburan Amerika, TMZ.

Sebelum itu Kim sedang berbaring di atas katilnya dan dia terdengar bunyi orang menaiki tangga di dalam apartmen mewah dua tingkat milik suaminya Kanye West.

Menurut laporan TMZ, sebelum Kim sempat bertindak menelefon sesiapa untuk meminta bantuan, telefon bimbitnya dirampas oleh perompak-perompak itu dan dia diikat sebelum dikurung di dalam bilik air.

Namun Kim bukan keseorangan di dalam apartmen berkenaan kerana rakan karibnya pereka fesyen, Simone Harouche yang sedang berehat di dalam sebuah bilik lagi di tingkat bawah apartmen itu telah dengan segera menelefon pengawal peribadi Kim, Pascal Duvier, yang ketika itu berada di sebuah kelab malam berdekatan bersama-sama dua lagi adik Kim iaitu Kourtney dan Kendall.

Dalam keadaan dan suasana cemas itu, bintang realiti yang berusia 35 tahun itu telah merayu kepada para perompak berkenaan agar tidak mengapa-apakannya kerana dia adalah ibu kepada dua orang anak yang masih kecil.

Kelima-lima lelaki yang memakai topeng ski dan pakaian yang menyerupai seragam polis kemudiannya dikatakan menyebut "cincin...cincin" berulang kali.

Dalam laporan polisnya, Kim menegaskan dia tidak memahami apa yang dituturkan oleh perompak-perompak itu yang bertutur dalam bahasa Perancis melainkan perkataan "cincin..cincin.." yang mereka sebut dalam bahasa Inggeris.

Hanya selepas itu barulah Kim sedar yang perompak-perompak itu sedang mencari cincin zamrud 20 karat Lorraine Schwartz yang dihadiahkan oleh suaminya Kanye West, demikian lapor TMZ.

Hanya beberapa jam sebelum kejadian rompakan itu, Kim telah memuatnaik foto terbaru di dalam laman sosialnya yang menampakkan dia sedang memakai cincin bernilai AS$4.5 juta.

Selepas kejadian itu, media-media massa Eropah dan Amerika telah menyalahkan Kim dengan menyatakan yang dia menjadi mangsa perbuatannya sendiri kerana suka mendedahkan dirinya dalam media sosial yang menyebabkan orang yang mempunyai niat jahat boleh menjejaki pergerakannya dan merancang komplot untuk merompaknya pada waktu yang sesuai.

Menurut TMZ, Kim yang terdesak untuk menyelamatkan dirinya telah memberitahu perompak-perompak itu di mana dia menyimpan cincin permatanya itu.

Mereka bukan sahaja membawa lari cincin zamrudnya malah kotak barangan kemas yang bernilai sekitar AS$6.7 juta keseluruhannya.

Pengawal peribadi Kim, tiba di apartmen itu dua minit selepas perompak-perompak tersebut melarikan diri menggunakan basikal yang boleh disewa di serata pelusuk bandar Paris.

Sebaik sahaja insiden traumatik itu, Kim dengan segera pulang ke Amerika Syarikat menggunakan pesawat peribadinya.

Dia disambut di lapangan terbang di New York oleh Kanye dan terus dibawa ke sebuah hotel dengan kawalan keselamatan yang ketat.

Sementara itu, TMZ turut melaporkan, Pascal Duvier dalam satu kenyataan menegaskan yang dia akan menjejaki para perompak itu sehingga mereka ditemui.

"Kami mempunyai maklumat dan petunjuk siapa dalang di sebalik rompakan ini. Kamu telah menganggu orang yang silap... kami akan mencari kamu sehingga ke lubang cacing," tegasnya.

Duvier telah berkhidmat dengan keluarga Kardashian sejak 2014, bertubuh sasa dengan ketinggian 6'4".

Dia turut dipersalahkan kerana gagal memberi perlindungan kepada Kim sebagaimana sepatutnya.
Powered by Blogger.