F Kes penipuan lebih RM20 juta: 'Usahawan' ditahan | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Kes penipuan lebih RM20 juta: 'Usahawan' ditahan

Seorang 'usahawan' berjaya ditangkap polis di hadapan premis perniagaan di Setiawan, Perak, semalam bagi membantu siasatan kes penipuan bernilai lebih RM20 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superitendan R.L Paniercelvan berkata, lelaki berusia lewat 40an berkenaan dipercayai terbabit dalam kes membabitkan pindah milik saham syarikat dengan memalsukan dokumen.

Menurutnya, dalam kes yang dilaporkan di Tampin pada tahun 2009 berkenaan, lelaki berkenaan dipercayai telah melakukan penipuan membabitkan lebih 12 bidang atau lot tanah di daerah berkenaan.

“Susulan penangkapan ini, suspek kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dengan sebat dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

“Selain kes penipuan ini, suspek kini turut disiasat dalam kes lain membabitkan memberi pinjaman wang tidak berlesen dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 5(2), Akta Pemberi Pinjaman Wang (APPW) 1951,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Paniercelvan berkata, jika sabit kesalahan bagi kes memberi pinjaman wang tidak berlesen berkenaan, suspek bakal dikenakan hukuman denda tidak kurang RM250,000 dan tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Menurutnya, suspek kini direman empat hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret Rembau.
Powered by Blogger.