F Kelab Seniman Nordin Ahmad bagi kenang jasanya | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Kelab Seniman Nordin Ahmad bagi kenang jasanya

USAHA tubuhkan Kelab Seniman Nordin Ahmad bagi mengenang, menaikkan nama seniman ini.

Kajang Pak Malau kajang berlipat. Kajang saya mengkuang layu. Dagang Pak Malau dagang bertempat. Dagang saya musafir lalu, bait-bait dialog dalam filem Seri Mersing ini pastinya menjadi kata yang paling diingati bagi para penggemar filem Melayu lama.

Biarpun puluhan tahun sudah berlalu, namun bait dialog ini masih diingati oleh jutaan rakyat Malaysia terutamanya mereka yang gemar akan filem-filem lakonan Nordin Ahmad.

Namun sayangnya, kilauan sinar anak kelahiran Kampung Kota, Permatang Pasir ini tampaknya tidak segah seperti insan-insan yang sezaman dengannya.

Ikuti laporan Sinar Harian merungkai usaha-usaha untuk menaikkan serta memartabatkan kembali nama legenda Nordin Ahmad ini.

Minat mengatasi segala

Bagi anak gadis berusia 26 tahun ini, minatnya terhadap filem-filem lakonan Nordin Ahmad amat mendalam.

Nur Syamimi Abu Bakar berkata, dia mula meminati lakonan Nordin Ahmad apabila menyaksikan watak seniman itu sebagai Hang Jebat.

“Sebenarnya keluarga saya amat meminati filem-filem Melayu lama terutamanya filem lakonan Nordin Ahmad.

“Hendak dijadikan cerita saya menyaksikan filem Hang Jebat yang diterajui oleh Nordin Ahmad yang melakonkan watak sebagai Hang Jebat.

“Pada saya lakonannya mempunyai aura yang tersendiri, seolah-olah diri ini begitu terasa dengan bait-bait kata yang diungkapkannya, dari situ minat saya mula timbul mengenai Nordin Ahmad,” katanya.

Nur Syamimi berkata, hasil pemerhatiannya selama ini mendapati legenda ini seolah-olah kurang diberi perhatian sebagaimana seniman lain sezaman dengannya.

“Dalam soal ini, saya tidak menidakkan kehebatan seniman lain seperti Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Saloma, Mahmud June dan ramai lagi.

“Namun, apa yang saya lihat nama Nordin Ahmad ini seolah-olah sepi, kurang perhatian daripada pihak berwajib, namun saya tidak terus mengalah, saya nekad untuk melakukan sesuatu bagi menaikkan nama seniman ini,” katanya.

Katanya, dia mula mencari peminat-peminat Nordin Ahmad dalam laman sosial dan tidak menyangka ramai yang meminati seniman ini.

“Saya terjumpa satu halaman dalam media sosial yang mana mengumpulkan peminat-peminat Nordin Ahmad, dari situ saya mula berazam untuk menubuhkan Kelab Seniman Nordin Ahmad ini.

“Kelab Seniman Nordin Ahmad kini dalam peringkat penaja dan bakal dilancarkan sepenuhnya pertengahan Oktober ini dan Insya-ALLAH, buat masa ini, saya mendapat pelbagai reaksi positif dari masyarakat,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai Kelab Seniman Nordin Ahmad ini, katanya, kelab ini bakal menghimpunkan para peminat Nordin Ahmad kelak.

“Untuk perancangan awal, Kelab Seniman Nordin Ahmad terbuka penyertaannya bagi seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

Mohon bina galeri Nordin Ahmad

Penubuhan Kelab Seniman Nordin Ahmad sememangnya merupakan anjakan positif terutamanya dalam usaha memperjuangkan agar seniman ini sentiasa diberi perhatian.

Presiden Persatuan Pelancongan Dan Warisan Melayu Pulau Pinang (Sahabat), Syed Kamalrul Sufian Syed Kadiron Mustafa berkata, penubuhan kelab ini dilihat membawa banyak kebaikan terutamanya dalam menaikkan nama Nordin Ahmad.

“Melihat kepada figura anak kelahiran Kampung Kota, Permatang Pasir ini, seolah-olah tiada mercu tanda yang boleh dikenang.

“Sedangkan kalau dilihat dari lakonannya, ternyata kebanyakan filem yang dilakonkannya banyak memberi kesan dan terpahat dalam ingatan,” katanya.

Katanya, setidaknya dapat didirikan satu galeri yang mana ia menghimpunkan kisah mengenai Nordin Ahmad.

“Kalau sebut nama P. Ramlee mungkin ramai orang tahu, tapi kalau sebut nama Nordin Ahmad, mungkin ramai yang tidak ingat semua filem lakonannya terutama generasi muda.

“Ini kalau boleh yang kita tak mahu, sedangkan pada saya filem yang diterajui Nordin Ahmad banyak mesejnya, jadi bila dibina galeri, segala informasi mengenai  dapat dikumpulkan,” katanya.

Menurutnya, kelak pihaknya akan bekerjasama dengan jawatankuasa penaja Kelab Seniman Nordin Ahmad untuk memperjuangkan agar nama Nordin Ahmad dapat dinamakan di beberapa jalan di negara ini.

“Buat masa ini, kita mahu sesuatu yang terpahat di ingatan diberi kepada seniman tanah air ini misalnya dari sudut pemberian nama jalan.

“Dan Insya-ALLAH sekurangnya, dengan kaedah ini, ia akan membuatkan masyarakat terutama golongan muda akan lebih meminati Nordin Ahmad,” katanya.

Terharu jasa ayah saudara dihargai

Bagi anak saudara kepada Nordin Ahmad, Mohd Sabri Sidek, 51, berkata, pihak keluarga amat berbesar hati dengan pelbagai usaha untuk menaikkan nama Nordin Ahmad ini.

“Bagi saya, dengan adanya kelab ini kelak, ia bukan sahaja dapat mengumpul peminat, dalam masa sama, mungkin kami dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara kami adik beradik.

“Bila dengar ada usaha tubuhkan Kelab Seniman Nordin Ahmad, saya tak sangka malah amat terharu, ada pihak sudi menubuhkannya pula adalah golongan muda, pada saya usaha mereka ini merupakan satu penghargaan yang amat bermakna kepada kami sekeluarga,” katanya.
Powered by Blogger.