F Kekuatan aura 'band kampung' | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Kekuatan aura 'band kampung'

Gelaran band kampung bukan penghalang buat Khalifah untuk terus menempa nama di persada muzik tanah air.

Bukan saja popular dalam kalangan orang kampung dan pedalaman, band rock yang dikenali menerusi lagu Hang Pi Mana ini juga mempunyai ramai pengikut di laman sosial.


Malah, klip video Hang Pi Mana yang dilancarkan di laman YouTube sejak 1 Jun lalu sudah mendapat lebih dua juta tontonan.

Penyanyinya, Yabang berkata, mereka tidak kisah dengan gelaran band kampung kerana mereka memang bermula dari situ.


“Kami memang ramai peminat dalam kalangan orang kampung dan golongan kelas bawahan sejak dulu. Jiwa kami memang dekat dengan golongan itu. Gelaran band kampung jugalah yang berjaya meletakkan nama dan populariti kami pada tahap sekarang.

“Gelaran itu juga membuatkan kami unik dan berbeza daripada band tempatan lain. Keunikan band kami jugalah yang membuatkan lagu kami diterima baik oleh pendengar,” katanya.

Bercerita mengenai album terbaru berjudul Cerita Kita itu, kata Yabang, ia memiliki kekuatan tersendiri untuk menarik peminat.

“Album ini diberi judul Cerita Kita kerana setiap lagu dimuatkan mempunyai kisah dan cerita tersendiri. Ia diilhamkan daripada pengalaman kami ketika mendekati masyarakat kampung sebelum ini.

“Sepuluh lagu yang dimuatkan dalam album ini berunsurkan kerakyatan dan menggunakan dialek negeri yang terdapat di negara ini. Bingkisan album kelima ini memuatkan 10 lagu iaitu Hang Pi Mana, Assalamualaikum Ustazah, Panji Hitam, Shalalala, Jika, Puteri, Kerbau Di Payung, Tiada Esok, Satu Kalimah dan Sebutir Bintang,” katanya.

Ditanya kenapa mereka berani menghasilkan album penuh dalam kegawatan pasaran album, Yabang berkata, pihaknya ingin memberi semangat kepada band lain untuk terus berkarya.

“Mungkin Khalifah selesa dengan lagu ciptaan sendiri tetapi kami tetap memberi peluang kepada komposer baru untuk mempelbagaikan cita rasa pendengar.

“Komposisi lagu yang ditampilkan dalam album ini juga merangkumi cita rasa golongan ‘urban’ dan luar bandar. Apa yang menarik, susunan muzik dalam setiap lagu dihasilkan sepenuhnya oleh saya dan Harry,” katanya.

Konsert jelajah sempena 10 tahun

Walaupun digelar band kampung, Khalifah tetap memiliki impian untuk menjadi band bertaraf legenda pada masa depan.

Menurut Yabang, mereka juga akan bekerja keras untuk mencapai apa yang diimpikan itu.

“Kami juga percaya kelainan dan konsep muzik tersendiri turut membezakan kami dengan band lain. Pada masa sama, kami juga ada perancangan untuk mengadakan konsert jelajah sempena sedekad pembabitan dalam bidang muzik tanah air.

“Konsert ini mendekati peminat setia band Khalifah sekali gus mempromosikan album terbaru di kawasan kampung dan FELDA di serata tanah air. Selain konsert jelajah, kami juga merancang mengeluarkan produk atau barangan menggunakan jenama Khalifah nanti,” katanya.

Selain Yabang, Khalifah dianggotai Harry (gitar utama), Moyang (gitar bass) dan Tony (dram). Sebelum ini, Khalifah pernah menghasilkan empat album iaitu Kelahiran (2007), Cinta Dewi Kamala (2009), Ni Hao Ma (2010) dan Cinta & Sayang (2013).
Powered by Blogger.