F #Juararock hangatkan pentas 3 Juara | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

#Juararock hangatkan pentas 3 Juara

KONSERT pengenalan rock bagi program realiti, 3 Juara yang berlangsung pada Ahad lalu, menyaksikan enam peserta ‘rockers’ dipilih produser rock, Edrie Hashim untuk terus bertanding di dalam rancangan realiti 3 Juara.

Manakala, dua peserta, Kelvin dan Rahra tersingkir, menamatkan perjuangan mereka dalam rancangan realiti ini.

“Saya telah memilih top 8 dengan sebaiknya. Mereka adalah terbaik daripada beribu peserta yang hadir pada sesi uji bakat.

"Namun, ini adalah hari penentuan untuk melihat sama ada mereka sudah bersedia atau tidak bagi meneruskan perjuangan dalam pertandingan ini.

“Oleh itu, saya bersama Amy Search memilih peserta top 6 dan percaya mereka akan pecahkan pentas 3 Juara,” katanya.

Konsert Pengenalan Rock, Ahad lalu itu, dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh Amy Search dan Edrie Hashim menerusi lagu Gita Rama Sita, iaitu sebuah karya ciptaan Edrie Hashim dan dinyanyikan oleh Amy Search.

Tamatnya persembahan tersebut, tiga pengacara iaitu Ammar, Mira Filzah dan Issey Fazlisham mengambil alih pentas bagi memberi laluan kelapan-lapan peserta genre rock membuat persembahan mengikut giliran.

Konsert yang ditaja Ribena ini, diteruskan dengan sesi pemilihan top 6 peserta genre rock, serta penyingkiran Kelvin dan Rahra.

Konsert malam itu akhirnya ditutup dengan persembahan lagu Fantasia Bulan Madu oleh Amy Search bersama kesemua peserta genre rock 3 Juara.

Program 3 Juara merupakan program realiti nyanyian yang mempertaruhkan tiga kategori (genre) muzik iaitu rock, balada, dan irama Malaysia.

Setiap kategori diwakili seorang produser ternama tanah air, Pak Ngah (irama Malaysia), Edrie Hasim (rock), dan Ajai (balada) untuk mencungkil bakat-bakat baharu sebagai pelapis kategori-kategori yang dipertandingkan serta mengangkat martabat kategori-kategori kegemaran rakyat Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

Pertandingan program realiti ini berformat sistem liga, di mana setiap peserta akan berentap bersama pasangan dalam kategori yang sama di satu pentas setiap minggu demi memungut mata daripada undian penonton, juri tetap dan produser daripada kategori masing-masing.

Ini bermakna, kesemua peserta ketiga-tiga kategori akan berentap dalam satu konsert setiap minggu demi mengumpul mata dan merebut wang tunai berjumlah RM300,000 secara keseluruhan.

Penonton turut dijemput memeriahkan fenomena 3 Juara di alam maya dengan cara mengundi peserta kegemaran secara atas talian (online) di www.tv3.com.my/3juara.
Powered by Blogger.