F Indah Ruhaila pertaruh single terbaharu | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Indah Ruhaila pertaruh single terbaharu

PENYANYI Indah Ruhaila atau nama sebenarnya, Siti Ruhailah Hussien mengakui teruja kelahiran single terbaharu, Semua Untuk Cinta.

Lagu yang sudah mula dimainkan di corong radio tempatan sejak tiga minggu lalu merupakan kesinambungan buat penyanyi berasal dari Johor ini untuk terus relevan dalam dunia seni hiburan tempatan.

Ditanya lagu ciptaan Hael dan Ezra Kong, Indah memberitahu, lagu itu berbeza daripada dua single terdahulu.

“Lagu ini tidak mempunyai melodi balada semata-mata. Ia mempunyai elemen pop agar ia kedengaran lebih segar, mesra pendengar dan seiring dengan perkembangan muzik kini," katanya.

Jelasnya, pembaharuan dalam lagu terbaharu ini percubaan pertamanya.

"Tidak salah cuba yang baharu dan kalau boleh saya tidak mahu terikat  nyanyian satu genre sahaja. Saya mahu cabar diri dengan merakamkan lagu yang punyai rentak berbeza, sesuai dengan jiwa pendengar muzik sekarang,” ujarnya yang turut membayangkan pada masa hadapan mahu merakamkan lagu berentak rancak selepas ini.

“Saya sedia maklum ramai mengenali saya dengan lagu Percayalah, namun diharap dengan kehadiran Semua Untuk Cinta ini, sekurang-kurangnya ia dapat menyaingi Percayalah, atau paling tidak mereka boleh menggemari lagu ini sama seperti lagu tersebut,” kata Indah.

Tidak kecewa

Berkongsi perkembangan seninya sejak menyertai Akademi Fantasia (AF) pada 2013 lalu hingga kini, Indah tidak pernah kecewa atau ralat dengan perjalanan kerjaya seni yang boleh diibaratkan seperti ‘turun naik’.

“Sebelum AF, saya mempunyai sebuah album yang diterbit pada 2008 lalu. Pada waktu itu saya masih lagi belasan tahun. Namun rezeki tidak berpihak pada saya dan album tersebut kurang mendapat sambutan dan dalam tempoh tersebut, saya akui ambil tempoh yang agak lama untuk dikenali.

“Jadi saya pernah lalui zaman sukar untuk berada pada tahap sekarang. Lalu apabila dikatakan kerjaya tenggelam timbul, saya tidak kecewa, malah saya ambil ia sebagai cabaran.

“Alhamdulillah, meskipun jarang muncul di televisyen, namun rezeki persembahan tetap ada dan semoga lagu baharu ini bakal memberi tuah dalam sisi berbeza untuk saya, insya-ALLAH,” sambung Indah optimis.
Powered by Blogger.