F Husam: Jika ditakdir Pas tidak bersama... | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Husam: Jika ditakdir Pas tidak bersama...

Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan tidak menolak kemungkinan berlaku pertandingan tiga penjuru di negeri itu pada PRU14 nanti.

Adun Salor, Datuk Husam Musa berkata, perkara itu hanya dapat dielakkan jika Pas bersetuju dengan rundingan atau kerjasama politik yang sedang digerakkan oleh pelbagai pihak dalam parti pembangkang.

"Sekiranya Pas ingin kembali ke dalam lingkungan pakatan, kita boleh terima. Tetapi dengan terma-terma tertentu. Misalnya, berkaitan  kemajuan, kebaikan selain melahirkan kerajaan yang bersih sepertimana yang dituntut Islam.

"Jika ditakdirkan Pas tak bersama, kita harus berjalan tanpa menunggu lampu hijau atau ketentuan mereka. Ini ketetapan yang saya ambil di Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Pusat Khidmat Peduli Rakyat anjuran Amanah Gopeng di Hotel Seri Malaysia, hari ini

Hadir sama Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nur Manuty dan Timbalan Pengerusi Amanah Negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Menurutnya, beliau secara asasnya mahu Pakatan Harapan meletakkan soal kepercayaan, kredibiliti dan integriti sebagai agenda utama dalam melakukan sebarang kerjasama dengan mana-mana pihak.

Katanya, perkara itu penting bagi memastikan pelbagai masalah seperti korupsi, kerosakan alam sekitar dan kegagalan urus tadbir yang berlaku tidak berulang kembali.

"Kita tak mahu terperangkap dengan keadaan dan suasana yang seperti itu. Kita juga kena fikir siapakah rakan kongsi yang boleh dipercayai sebelum, semasa dan selepas PRU14 nanti," katanya.

Husam berkata, pihaknya juga percaya beberapa negeri seperti Perak, Sabah, Kedah dan Johor boleh dimenangi pembangkang jika ada usaha bersepadu dijalankan.

"Perlu atur pelbagai program dan strategi ke arah perubahan secara berterusan. Saya yakin akan berlaku perubahan bukan sahaja di Perak malah Sabah, Johor dan Kedah," katanya.

Dalam pada itu, Husam yang juga bekas Naib Presiden Pas turut melahirkan sedih dengan kerapuhan nilai integriti dan penyelewengan yang berlaku di kalangan rata-rata pimpinan Melayu Islam pada ketika ini.

Beliau berkata, tindakan yang dipamerkan mereka bukan sahaja tidak selari malah menjatuhkan kredibiliti Islam sebagai sebuah agama yang syumul.

"Kesimpulannya, pemimpin Melayu sebenarnya terancam dari dalam dan bukannya  terancam disebabkan DAP sepertimana dimomokkan mereka," katanya.

Powered by Blogger.