F GV3 lebih sengit | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

GV3 lebih sengit

SAMA seperti dua musim terdahulu, tiada penyingkiran dilakukan dalam minggu pertama konsert Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), kelmarin.

Minggu pertama GV3 menyaksikan persembahan mantap 12 peserta dalam menyampaikan seleksi lagu popular masing-masing.

Mengakui sukar untuk membuat penilaian, Datuk Ramli MS yang sekali lagi diberi tanggungjawab sebagai juri tetap berkata, faktor itu didorong oleh pemilihan lagu yang sememangnya sudah menjadi kebiasaan untuk dinyanyikan.

“Ya, saya akui persaingan agak sengit, bahkan jumlah peratusan markah juga tidak banyak beza.

“Semua peserta menyanyi dengan bagus kerana sudah beribu kali menyanyikan lagu tersebut.

“Pendek kata, mereka sudah biasa dengan lagu itu,” katanya ketika ditemui pada sidang media.

Katanya, persaingan sebenar akan bermula apabila setiap peserta bakal menyanyikan lagu daripada penyanyi lain.

“Dalam liga besar seperti ini, adalah penting untuk menyanyikan lagu yang lari daripada kebiasaan.

“Setiap lagu membawa ‘rasa’ yang berbeza, susunan muzik juga berlainan. Masa itu, tugas saya akan menjadi lebih mudah.

“Itulah masanya, saya mahu melihat sejauh mana kemampuan setiap penyanyi,” katanya.

Tambahnya, setiap produser pasti mengetahui akan kelebihan atau kekurangan seseorang penyanyi itu.

“Cara saya ‘melihat’ mereka juga berbeza.

“Saya tidak mendengar mereka menyanyi, sebaliknya saya mendengar apakah intelektual yang ada dalam diri mereka.

“Mungkin mereka tidak mengetahui atau menyedarinya, jadi itulah tanggungjawab produser,” katanya.

Selain Ramli, semua peserta GV3 turut diadili oleh Datuk Khatijah Ibrahim yang juga juri tetap dan Datuk Yusof Haslam pula bertindak sebagai juri jemputan pada minggu tersebut.

Kesemua peserta diadili 100 peratus menerusi pemarkahan daripada barisan juri.

GV3 dibarisi 12 peserta iaitu Ameng yang tampil menyanyikan lagu popularnya, Sejiwa; G-Mie (Tak Suka Tak Apa); Razis Ismail (Kepulangan); Rem (Semua Orang Tahu); Shidi (Permaisuri); Zarul (Ramalanku Benar Belaka); Nora (Di Persimpangan Delima); Intan Sarafina (Kembali); Zur Eda (Lama Tak Jumpa); Azharina (Elergi Sepi); Siti Sarah (Jangan Kau Mimpi) dan Elly Mazlein (Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan).

Dalam konsert yang mengambil tema Kembali Menyegat itu turut memperlihatkan penyanyi kecil molek, Siti Sarah berada pada kedudukan teratas selain dipilih sebagai pemenang Lagu Throwback Paling Menyengat.

Dalam pada itu, minggu pertama program realiti itu turut diserikan dengan persembahan pembukaan daripada bekas peserta GV2 iaitu Siti Nordiana, Ezad Lazim dan Faradhiya.

Ketiga-tiganya menyampaikan lagu-lagu popular peserta bagi memperkenalkan semua peserta kepada penonton.

Minggu kedua konsert GV3 pula akan bertemakan Memori Berkasih.

GV3 dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse. Ia turut disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
Powered by Blogger.