F Guna lebuh raya lebih masa: Tidak logik dikena penalti | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Guna lebuh raya lebih masa: Tidak logik dikena penalti

RESPONS syarikat Projek Lebuhraya Utara Selatan Malaysia Berhad (Plus) semalam berkenaan caj tambahan pengguna lebuh raya yang lewat keluar tol adalah amat mendukacitakan.

Plus kini secara senyap telah mengenakan caj Penalti Perjalanan Melebihi Tempoh Yang Ditetapkan atau 'Long Journey Time' (LJT), bagi pengguna lebuhraya yang melebihi masa ditetapkan.

Menurut Plus dalam kenyataannya, pengguna lebuh raya hanya layak berhenti rehat di hentian Rawat dan Rehat (RnR) selama 2.3jam (138 minit) dan ditambah dengan jumlah masa perjalanan dengan formula tertentu.

Sekiranya masa yang diambil oleh pengguna lebuh raya melebihi jumlah masa rehat dan formula jarak perjalanan tersebut, penalti akan dikenakan kepada pengguna.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membantah keras penalti yang dikenakan secara senyap oleh Plus terhadap pengguna lebuhraya.

Penalti yang dikenakan ini tidak logik sama sekali malah boleh berlaku tanpa pengetahuan pengguna lebuhraya yang menggunakan kaedah pembayaran Touch n Go.

Alasan kononnya berlaku manipulasi kad transit oleh sesetengah pengguna lebuh raya adalah tidak rasional, sepatutnya pihak Plus punya mekanisma lebih baik untuk atasi masalah ini, bukan dengan cara menghukum pengguna dengan cas tambahan.

Hentian RnR adalah kawasan rehat untuk pengguna lebuh raya, pihak Plus tidak wajar menetapkan waktu rehat bagi pengguna.

Berapa jam pengguna ingin berehat adalah terpulang kepada pengguna kerana laluan lebuhraya ini dibayar, bukan percuma.

Pengguna lebuh raya acapkali disaran untuk berehat sekiranya mengantuk, ini demi mengelakkan kemalangan akibat kepenatan atau tertidur akibat rehat yang tidak cukup.

Namun kini Plus pula mengenakan penalti hanya kerana berehat lebih masa.

Penalti yang dikenakan menyebabkan pengguna lebuh raya lebih terdesak dengan kadar tol yang sememangnya tinggi, kini pengguna akan mengelak untuk berhenti rehat supaya tiada penalti dikenakan terhadap mereka.

Malah pengguna juga akan memandu melebihi had laju demi mengejar masa mengelak penalti tersebut. Situasi ini lantas membahayakan semua pengguna lebuhraya.

Apakah Plus sudah menjadi kapitalis yang kejam? Apakah Plus ingin bertanggungjawab terhadap kemalangan akibat daripada pengguna lebuh raya yang tidak berhenti rehat?‎

SAMM juga ingin mencadangkan supaya pihak Plus pula dikenakan penalti sekiranya berlaku kesesakkan di lebuh raya kendalian Plus.

Formulanya, perjalanan dari tol Seremban ke tol Sg Besi hanya mengambil masa hanya 40 minit, jika berlaku kesesakkan hingga menyebabkan kelewatan lebih 50 peratus dari masa perjalanan sebenar, iaitu lewat sehingga perjalanan menjadi lebih sejam, maka pihak Plus wajar memberikan diskaun di antara 20 peratus -50 peratus bergantung kepada masa kelewatan.

Alasannya, lebuh raya bertol adalah laluan berbayar yang sepatutnya menjimatkan masa. Jika laluan di lebuh raya menjadi terlalu sesak hingga melambatkan masa pengguna, untuk apa laluan itu dibayar?

Akhir sekali, SAMM menggesa supaya penalti yang tidak logik ini dimansuhkan segera. Malah sepatutnya semua tol Plus dimansuhkan selepas puluh tahun mengutip keuntungan dari pengguna.

Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan menyediakan jalan raya, bukan menambah kesengsaraan rakyat.

​EDY NOOR REDUAN

Pengarah Propaganda

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
Powered by Blogger.