F Gegaran konsert terbesar OAG | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Gegaran konsert terbesar OAG

KEBIASAANNYA, komposer lebih berminat mencipta lagu dalam bahasa Malaysia bagi penyanyi memandangkan masyarakat tempatan lebih memilih untuk mendengar lagu dalam bahasa berkenaan.

Namun, empat anak muda mengambil pendekatan berbeza apabila menggubah lagu dalam bahasa Inggeris meskipun ia adalah langkah yang sangat berisiko.

Maka, terhasilnya single pertama bertajuk 60’s TV sebagai mukadimah perkenalan diri mereka kepada masyarakat, sekitar pertengahan tahun 1990-an.

Apabila naskhah ini mula diputar di corong radio, lagu ini ibarat magnet apabila ia berjaya memikat hati pendengar ketika zaman tersebut, terutama sekali golongan muda.

Bermula dari situlah, peminat industri hiburan tempatan mula mengenali empat anak muda ini yang memperkenalkan diri mereka sebagai Old Automatic Garbage atau OAG.

Selepas kejayaan lagu tersebut, mereka terus mencipta beberapa lagu Inggeris lagi seperti Beautifool, Name Of The Game, Knocked Silly dan beberapa lagi.

Kini, selepas 25 tahun bertapak dalam industri muzik tempatan, OAG kini dalam fasa perancangan  untuk mengadakan konsert istimewa bagi meraikan tahun jubli perak mereka.

Berita ini mungkin menjadi satu berita gembira kepada peminat OAG untuk kembali melihat barisan asal kumpulan tersebut kembali beraksi di sebuah pentas.

Menurut pemain drum Qi Razali, idea untuk membuat konsert tersebut tercetus apabila barisan asal OAG kembali berkumpul pada awal tahun ini.

“Saya, Radhi, Ivan dan Lum berkumpul semula semasa sambutan Tahun Baru Cina untuk sesi penggambaran buku autobiografi kami, ‘The OAG Story’ dan itulah kali pertama kami berkumpul semula dalam tempoh hampir dua dekad.

“Daripada perjumpaan itu, saya menyuarakan idea ini kepada rakan-rakan dan mereka bersetuju dengan idea tersebut,” katanya dalam satu sidang media, baru-baru ini.

Lebih mengharukan Qi adalah kesudian Ivan yang bersedia untuk pulang ke Malaysia setelah bermastautin di Ireland.

Qi berkata, Ivan memintanya untuk memaklumkan awal tarikh konsert berkenaan supaya dia boleh membeli awal tiket penerbangan.

“Untuk konsert tersebut, lima generasi barisan pemuzik OAG akan dipanggil semula untuk membuat persembahan.

“Kami perlu memanggil kesemua pemuzik yang pernah menganggotai OAG memandangkan mereka pernah berjasa membawa jenama OAG untuk terus kekal dalam persada muzik,” katanya dengan penuh semangat.

Bagi merealisasikan konsert tersebut, OAG sedang melakukan pelbagai rancangan sebagai gerakan ke arah konsert tersebut.

“OAG sedang melakukan beberapa mini konsert dengan beberapa barisan generasi OAG ini di beberapa tempat di seluruh negara. Lokasi yang akan ditujui ini berkemungkinan adalah tempat majoriti peminat berada.

“Jadi, saya harap, peminat mendoakan kami supaya konsert ini dapat dijalankan,” katanya.

Terbit The OAG Story

Sementara itu, Qi berkata, The OAG Story adalah himpunan kisah sepanjang suka duka kumpulan tersebut menempuhi liku-liku cabaran sebagai sebuah kumpulan.

“Sejarah 24 tahun OAG, daripada kali pertama kami berkenalan, sehinggalah terbit beberapa generasi baharu OAG dinukilkan di dalam sebuah naskhah.

“Saya harap, masyarakat membeli buku ini untuk mengetahui kisah suka-duka OAG menempuhi segala ranjau untuk terus kekal sehingga kini,” katanya.

Menurutnya, autobiografi tersebut mendapat sambutan menggalakkan apabila ianya terjual sebanyak 2,000 semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Serdang.

Dalam pada itu, Qi mengucapkan ribuan terima kasih kepada The Coffee Bean dan Tea Leaf (CBTL) kerana ingin menjalinkan kerjasama dengan pihaknya untuk menjual The OAG Story di kafe tersebut.

“Ini adalah salah satu projek terbesar yang pernah kami lakukan sepanjang bersama. Saya berbesar hati kerana CBTL kerana memilih kami untuk dijadikan rakan kolaborasi,” katanya.
Powered by Blogger.