F Filem pendek wakili Malaysia | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Filem pendek wakili Malaysia

SEBUAH filem pendek arahan sutradara terkenal, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin menjadi wakil tunggal Malaysia pada Festival Filem Antarabangsa Eurasia (EURASIAIFF) ke-12 yang berlangsung di Almaty, Kazakhstan yang berakhir pada 30 September lalu.

Filem tersebut, Pagari Bulan terpilih untuk bertanding di dalam kategori filem pendek, kategori baharu yang diwujudkan di dalam festival yang diiktiraf oleh Pertubuhan Persekutuan Pengarah Filem Antarabangsa (FIAPF).

Pagari Bulan yang diterbitkan syarikat produksi Centro Pictures tidak berjaya memenangi kategori berkenaan yang akhirnya dimenangi oleh sebuah filem Kazakshtan, The Ray Of The Rising Light.

Meskipun tidak memenangi kategori itu, Raja Mukhriz menganggap ia merupakan pencapaian yang agak memberangsangkan kerana tidak menyangka Pagari Bulan terpilih ke EURASIAIFF.

“Sebenarnya, Pagari Bulan dicetuskan bagi mewakili Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk bertanding di dalam Asia Youth International Film Festival yang akan berlangsung pada 5 hingga 7 Oktober depan di Sintok, Kedah.

“Sebagai salah seorang pelajar yang mengikuti pengajian ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif di UUM, saya dan beberapa rakan lain termasuklah Pekin merasakan kami perlu menghasilkan sebuah karya filem pendek yang mampu membuka mata pihak luar terhadap kemampuan kita,” katanya.

Sementara itu, pemilik Centro Pictures yang juga pelakon Pekin Ibrahim pula berkata, pemilihan Pagari Bulan di dalam EURASIAIFF secara tidak langsung telah memperkenalkan kehidupan sebenar sebahagian masyarakat Malaysia kepada pemain industri perfileman antarabangsa.

“Pagari Bulan memaparkan tentang isu budaya kaum Bajau Laut yang jarang diketahui oleh rakyat Malaysia sendiri dan secara kebetulan pula, filem ini bertepatan dengan motto yang cuba diangkat di dalam festival tersebut iaitu, ‘Love as the basis of human life and a path of harmonisation of cultures’.

“Kehidupan kaum Bajau Laut atau Sea Gypsie itu kami rakamkan sendiri di kawasan yang mereka diami iaitu di Pulau Semporna, Sabah sewaktu menghasilkan dokumentari filem Madness Of Borneo.

“Secara tidak langsung, pihak luar dapat melihat sendiri keindahan Pulau Semporna menerusi sinematografi yang dipaparkan dengan cukup cantik di dalam filem pendek ini,” katanya.
Powered by Blogger.