F Emma Watson Kecam Amalan Perkahwinan Kanak-Kanak | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Emma Watson Kecam Amalan Perkahwinan Kanak-Kanak

Bintang filem Harry Porter, Emma Watson, mengecam perkahwinan dalam usia kanak-kanak sewaktu membuat kunjungan ke Malawi pada Isnin, serta menggesa pihak berkuasa di seluruh Afrika agar dapat menghentikan amalan itu.

Menurut aktres British itu, amalan tersebut meletakkan generasi muda dalam risiko, selain menghalang kanak-kanak perempuan mendapat pendidikan dan masa depan yang lebih baik.

Watson, 26, yang merupakan Duta Muhibbah Wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), melawat negara Afrika Tenggara itu sempena ambang sambutan Hari Anak Perempuan Antarabangsa.

Pada 2015, Malawi meluluskan undang-undang untuk menaikkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun dengan kerjasama antara PBB dan ketua-ketua masyarakat tradisional.

“Bertemu ramai kanak-kanak perempuan yang bergelut dengan kemiskinan dan dipaksa berkahwin dalam usia mentah, membuatkan saya sedar betapa pentingnya bagi wanita untuk membuat pilihan sendiri.

“Sangat mengujakan untuk melihat amalan yang berbahaya ini mampu dihentikan apabila masyarakat memberi kerjasama,” ujar Watson dalam satu kenyataan.

Data PBB menunjukkan bahawa di seluruh dunia, satu per tiga kanak-kanak perempuan di negara-negara membangun, tidak termasuk China, berkahwin sebelum menginjak usia 18 tahun.

Ia sekali gus menafikan zaman kanak-kanak dan hak mereka untuk bersekolah.

Walaupun Malawi kini mengharamkan perkahwinan kanak-kanak, terdapat kebimbangan bahawa ia masih boleh berlaku kerana mengikut adat.

Menurut data kempen Girls Not Brides yang berpangkalan di United Kingdom, 15 juta kanak-kanak perempuan terikat dengan perkahwinan di seluruh dunia.

Hari Anak Perempuan Antarabangsa yang diisytihar PBB disambut pada 11 Oktober untuk mempromosi hak asasi manusia bagi kanak-kanak perempuan.
Powered by Blogger.