F Elly buka lembaran baru | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Elly buka lembaran baru

“Hidup perlu diteruskan”.

Itu kenyataan ringkas penyanyi Elly Mazlein, 36, selepas Mahkamah Rendah Syariah Sepang memerintahkan pengarah drama, Azmi Mohd Hata yang juga bekas suaminya membayar nafkah RM1,500 setiap bulan untuk bayi perempuannya, Putri Sara Sefhia, tujuh bulan, baru-baru ini.


Menurut penyanyi lagu Pendita Penipu ini, dia kini ingin membuka lembaran baru dalam hidup dan mahu menjadi lebih positif.

“Saya mahu menutup buku lama dan buka buku baru. Saya sudah dapat apa yang saya mahukan dan ini bukan sahaja untuk diri saya, tetapi untuk keluarga.


“Penderitaan selama ini terbayar dan kali ini, saya benar-benar akan bergerak ke depan,” katanya.

Menurut Elly atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, dia sendiri sedar pertelagahannya mengenai bekas suami di laman Instagram miliknya adalah satu perbuatan memalukan.

“Pada saya, bertelagah di Instagram dan satu negara baca mengenainya perbuatan memalukan.

“Sebelum ini, saya cuba tutup aib serapat-rapatnya. Sejak mengandung lagi, saya sudah kena macam-macam perkara dan hampir meroyan.

“Saya berani untuk lantang bersuara pun adalah untuk menuntut hak saya dan anak daripada bekas suami. Ketika saya berdiam diri, pihak satu lagi pula yang banyak bersuara dan itu membuatkan saya juga tampil bersuara.

“Mujurlah, saya dapat bantuan daripada keluarga yang sentiasa memberi sokongan. Saya tak mahu lagi menoleh ke belakang,” katanya.

Menurut Elly, dia seorang yang akan bercakap benar.

Sehubungan itu, dia kini memaafkan bekas suaminya itu dan kekasihnya yang juga pelakon Faye Kusairi serta semua keluarga bekas mentuanya.

“Apa yang penting sekarang ialah fokus saya kepada anak, bapa dan kerjaya. Saya mencari rezeki secara bersendirian dan ini dugaan saya juga sebagai anak seni.

“Dengan dugaan begini, sedikit sebanyak saya ambil sebagai penguat untuk jadikan diri manusia yang lebih matang pada masa depan,” katanya.

Elly juga memaklumkan selepas ini akan memadam semua gambar berserta status yang bersifat negatif di Instagram kerana mahu menghormati peminat dan pengikutnya.

“Alhamdulillah, walaupun banyak dugaan, saya bersyukur kerana peminat dan pengikut sentiasa memberikan semangat kepada saya,” katanya.

Ditanya sama ada dugaan yang berlaku mengganggu perjalanannya sebagai peserta program Gegar Vaganza 3 (GV3), Elly tidak menafikannya.

“Tidak dinafikan, apa yang berlaku sedikit sebanyak menggangu fikiran saya lebih-lebih lagi apabila pertandingan ini juga memerlukan fokus. Namun begitu, saya akan cuba buat yang terbaik.

“Saya tahu, ramai peminat yang rindu melihat persembahan saya di pentas dan ini adalah hadiah buat semua peminat. Doakan perjalanan saya bersama anak serta kerjaya berjalan dengan lancar,” katanya.
Powered by Blogger.