F 'Dr. Hong' Terkejut Diri Disangka Doktor Sebenar | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

'Dr. Hong' Terkejut Diri Disangka Doktor Sebenar

Aktor terkenal Korea, Kim Rae Won  tidak menyangka lakonan sebagai doktor pakar bedah dalam drama fenomena Doctors meninggalkan impak luar biasa sehinggakan sebilangan penonton percaya dan mengatakan dia memang seorang doktor sebenar di kehidupan realiti.

Ketika ditemui, Rae Won meluahkan rasa syukur dan gembira kerana menerima banyak komen positif daripada peminat.

Malah antara komen yang memnyentuh hatinya apabila ada peminat yang menyatakan mereka bertuah dapat hidup dalam generasi yang sama dengannya dan berpeluang menonton drama-drama lakonannya.

"Saya gembira kerana banyak menerima komen positif. Malah ramai percaya dan mengatakan saya memang seperti benar-benar seorang doktor.

"Saya ada terbaca sebuah artikel yang menulis mengenai komen peminat terhadap lakonan saya. Komen tersebut menyatakan mereka berasa bertuah kerana dapat hidup satu generasi dengan saya dan berpeluang menonton drama-drama lakonan saya. Itu adalah komen yang paling menyentuh hati saya," dedahnya yang juga dikenai dengan jolokan sebagai oppa “Hong Hong Hong” yang merupakan nama wataknya iaitu Dr. Hong Ji Hong.

Bintang berusia 35 tahun ini ditemui pada sidang media susulan kejayaan Doctors, yang dinobatkan selaku drama dengan rating tertinggi dalam kalangan semua saluran antarabangsa di Malaysia.

Sebanyak 16 episod, Doctors yang telah ditayangkan pertengahan Jun sehingga Ogos lalu merupakan antara yang mendapat rating tertinggi di saluran ONE sekaligus berjaya mencetus fenomena. Ianya akan kembali disiarkan di saluran One HD (saluran 393), pada setiap Ahad mulai 30 Oktober ini.

Ketika muncul di pentas, beliau memperkenalkan dirinya dengan bertutur dalam bahasa Melayu. Bahkan beliau sempat meminta maaf atas kelewatan ketibaannya ke sini pada malam Ahad lalu.

"Ini kali pertama saya datang ke Malaysia, seronok dapat bertemu anda semua. Saya gembira dan terharu dengan sambutan peminat di lapangan terbang, semalam. Maaf, saya tiba sedikit lewat kerana penerbangan saya ditunda tetapi peminat tetap menyambut saya," tuturnya sambil melemparkan senyuman.

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai drama arahan pengarah Oh Choong Hwan itu, lelaki berketinggian 183 sentimeter ini berkata, dia tertarik untuk menjayakan naskah tersebut kerana karakter kali ini berbeza berbanding drama-dramanya sebelum ini.

Akuinya, bagaimanapun pada awalnya beliau kurang yakin untuk menghidupkan watak Dr. Hong Ji Hong.

"Ketika saya ditawarkan berlakon untuk drama ini, saya sedang sibuk di set penggambaran filem. Saya risau jikalau tidak mampu berikan komitmen.

"Ini pertama kali saya melakonkan watak doktor tambahan banyak istilah-istilah perubatan yang perlu saya ingati. Namun saya terima tawaran kerana watak ini lain daripada yang pernah saya lakonkan.

"Tapi sejujurnya, Dr. Hong orangnya jauh lebih baik daripada saya," tuturnya sambil merendah diri tatkala menjawab pertanyaan media mengenai persamaan Dr. Hong dan dirinya.

Selain perlu melontarkan banyak dialog romantik, tak cukup dengan itu Rae Won mencuri penonton menerus babak-babak romantik bersama heroinnya, aktres cantik Park Shin Hye, sehinggakan ada yang menggelarkan beliau sebagai King of Romantic.

"Shin Hye seorang pelakon yang sangat bagus. Kami sebenarnya sudah saling mengenali sejak di zaman universiti lagi. Kami dalam pengajian yang sama dan dia adalah junior saya. Disebabkan sudah lama kenal, jadi mungkin kerana itu ia lebih mudah untuk kami wujudkan keserasian ketika di set," ujarnya ketika ditanya apakah rahsia keserasian hubungannya dengan aktres cantik itu.

Dalam pada itu, Rae Won berkata dia menanti-nantikan peluang berlakon dalam drama berkonsepkan sejarah.

"Selepas melakonkan banyak drama romantik-komedi dan watak berat, saya teringin berlakon dalam drama sejarah. Saya rasa saya sesuai untuk watak drama sebegitu. Tetapi sehingga kini saya belum diberikan peluang," kata yang bakal muncul menerusi dua filem terbaharu pada Disember depan.

Rae Won sebenarnya bercita-cita mahu menjadi seorang pemain bola keranjang profesional namun impiannya itu berkubur selepas mengalami insiden hingga mengakibatkan kecedraan di buku lali kakinya. Lantaran dia menyambung pengajian dalam bidang Teater dan Filem di Universiti Chung Ang.

Memulakan kerjaya dalam dunia lakonan seawal usia 16 tahun, beliau muncul menerusi drama pertama, memengang watak sebagai pelajar jurusan undang-undang yang pemalas dalam Rooftop Room Cat (2003). Seterusnya, anak kelahiran Gangneung, Gangwon ini meraih populariti dalam drama My Little Bride (2004) dan berjaya merangkul Anugerah Pelakon Baru Terbaik (Grand Bell Awards) dan Pelakon Paling Popular(Anugerah Baeksang Arts 2005).

Beliau mula dikenali sebagai imej hero romantis A Thousand Days' Promise (2011) dan kemudian beliau terus membuktikan bakat lakonannya apabila diberi kepercayaan menjiwai karater dalam berat, Punch seterusnya muncul menerusi lakonan dalam Gangnam Blues (2015), sebuah filem di mana beliau menggambarkan beliau seorang gangster. Filem yang turut diterajui oelh Lee Min Ho itu menuntut Rae Won mengurangkan berat badannya sebanyak 15 Kg dan dia berjaya melakukannya dalam tempoh sebulan.

Sementara itu, dalam kesmpatan kunjungan ke sini kali ini, Rae Won turut meluangkan masa di acara sesi bertemu peminat anjuran saluran hiburan nombor satu Korea, ONE HD yang berlangsung di pusat membeli belah Pavilion, pada jam 7.30 malam tadi.

Penampilan khas Kim Rae Won telah menarik kehadiran lebih 5,000 peminat dari seluruh pelusuk tanahair. Ada di antara mereka yang sanggup tiba seawal 9.30 pagi semata-mata demi merebut barisan depan agar dapat menatap idola mereka ini. Sepanjang acara, suasana cukup meriah dengan sorakan para peminat.

Enam peminat bertuah juga telah dipilih dan dijemput ke atas pentas untuk melakonkan semula beberapa adegan yang paling mencuri tumpuan daripada Doctors termasuk babak romantis di mana Kim Rae Won dan Park Shin Hye menari kegembiraan dalam hujan. Tanpa segan-silu, peserta-peserta menyahut cabaran itu dengan penuh kesungguhan lalu mencuit hati semua yang hadir termasuk Kim Rae Won sendiri yang tersenyum lebar, dengan gelagat masing-masing.

"Terima kasih atas sokongan anda semua. Saya cintakan kamu semua! Gembira dapat bertemu kamu semua dan hari ini merupakan hari yang paling indah bagi saya dalam tahun 2016," kata pelakon ini sebelum meninggalkan pentas.
Powered by Blogger.