F Datin Ramziela usaha keras bina nama, kerjaya | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Datin Ramziela usaha keras bina nama, kerjaya

PENYANYI yang cukup dikenali menerusi lagu Gemilang Cinta, Datin Ramziela Radzillah, 50, menyifatkan penglibatannya dalam bidang nyanyian lebih 17 tahun lalu sebagai kenangan cukup manis untuk dikenang.

Lebih manis apabila Ramziela diberi peluang menyanyi di istana ketika usianya baru menginjak 15 tahun.

"Saya seronok kerana pada usia itu saya diberi peluang untuk menyanyi di Istana Kelantan.

"Waktu itu, saya dan keluarga menetap di Kota Bharu kerana mengikuti bapa yang bertugas sebagai tentera di sana," katanya.

Jelas Ramziela, walaupun masih lagi di peringkat awal remaja, dek kerana kebolehannya membuatkan dia mendapat peluang sedemikian.

"Mungkin kerana kebolehan saya menyanyikan lagu-lagu Inggeris baru dan lama, saya sering mendapat undangan menyanyi di sana.

"Macam tak percaya sahaja, tetapi itulah pengalaman cukup manis saya kenang sampai kini,” kata anak kelahiran Ipoh ini.

Minat menyanyi sejak di bangku sekolah lagi membuatkan Ramziela menyertai banyak pertandingan.

"Saya juga banyak diberikan peluang oleh RTM menerusi pelbagai majlis anjuran mereka," katanya.



Hijrah demi minat

Mengimbas kembali perjalanan seni sebelum ini, kata Ramziela, selepas tamat persekolahan sekitar tahun 1981, dia berhijrah ke Kuala Lumpur mencari peluang mengembangkan bakat.

Menumpang sementara di rumah ibu saudara, Ramziela cenderung ke arah muzik pop rock mula menyusun langkah.

"Terlalu banyak pengalaman hidup yang saya tempuh untuk menjadikan saya  wanita yang cukup matang kini.

“Ketika di Kuala Lumpur, saya menyertai Pentarama iaitu aktiviti persembahan di bawah Jabatan Penerangan Malaysia.

"Menerusi Pentarama, saya dapat banyak peluang mengadakan persembahan di serata Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Lokasinya bukan hanya di bandar, tetapi kami pernah sampai sehingga ke pedalaman semata-mata untuk menghiburkan masyarakat.

"Antara rakan-rakan saya turut terlibat ketika itu adalah Ayati Tasrip, Sharifah Mona, Jamilul Hayat dan lain-lain,” katanya.

Untuk tempoh beberapa tahun selepas itu, Ramziela meneruskan kerjayanya dalam bidang nyanyian di kelab hiburan.

"Pengalaman sebagai penyanyi kelab malam ternyata membentuk saya menjadi penghibur yang serba boleh," katanya.

Wanita ini juga pernah berpeluang mengadakan persembahan di negara luar seperti Jepun, Thailand dan Filipina.

"Ketika menyanyi di salah sebuah kelab di Singapura, Datuk Ramli MS datang menonton persembahan saya dan mencadangkan saya merakamkan album.

"Siapa sangka selepas itu, saya ditawarkan pihak SRC untuk menjadi artis rakaman mereka,” imbasnya.



Tuah lagu Gemilang Cinta

Ramziela sempat merakamkan dua buah album bersama SRC iaitu Hati Seorang Wanita dan Doa dan Harapan.

Namun album tersebut tidak begitu mendapat sambutan sehingga dia tampil dengan album ketiga, Gemilang Cinta.

Menerusi album dihasilkan dengan duit poket sendiri itu, namanya mula dikenali dan lagu Gemilang Cinta menjadi siulan.

“Ketika itu, saya mendapat banyak tawaran persembahan dan terlibat dalam pelbagai aktiviti promosi baik di media cetak mahupun elektronik.

"Dalam masa yang sama, saya juga mendapat peluang bersama-sama Tourism Malaysia buat persembahan di luar negara.

"Difahamkan mereka memilih saya kerana kebolehan menyanyi dalam pelbagai bahasa dan genre,” katanya.

Berkongsi tentang cabaran yang dihadapinya ketika itu, kata penyanyi serba boleh ini, setiap artis perlu berusaha keras untuk menempatkan diri dalam industri.

“Industri ketika itu dipenuhi orang-orang berbakat. Semua bagus-bagus dan mempunyai kelebihan tersendiri.

"Jadi untuk berada di depan dan dilihat orang, kita perlu berusaha berlipat kali ganda," katanya.

Katanya, dari pemerhatiannya, perkara seperti itu tidak berlaku lagi sekarang.

“Kalau dulu, hanya yang terbaik sahaja dapat peluang ke depan. Pesan saya kepada mereka, rajin-rajinlah belajar dan sentiasa ada usaha memperbaiki diri. Jangan mudah sangat lupa diri kerana populariti tidak bawa ke mana,” katanya.

Ditanya sama ada berhasrat kembali semula dalam dunia seni, ibu kepada seorang anak ini menolak.

“Saya kini sibuk menguruskan perniagaan sendiri iaitu MisiCafe & Shoppe serta bantu suami kendalikan syarikat pembekal keselamatan bangunan.

“Apapun, sesekali melepaskan rindu, saya akan menyanyi di kafe kami yang turut menyediakan ruang berhibur menerusi aktiviti karaoke.

"Cukuplah sekadar itu buat masa ini. Apapun, minat dalam bidang nyanyian tetap mekar dalam diri saya,” katanya mengakhiri perbualan.
Powered by Blogger.