F Cinta Masam Manis bukan drama hingusan | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Cinta Masam Manis bukan drama hingusan

kebelakangan ini, penonton sering disuapkan dengan kisah cinta golongan muda, termasuklah kisah cinta yang dipertemu jodoh oleh keluarga.

Namun, berbeza dengan drama baharu di TV3 ini, ia mengangkat sebuah kisah cinta yang sememangnya pernah berlaku di dalam masyarakat.

Bukan sebuah kisah cinta hingusan, sebaliknya drama Cinta Masam Manis ini membawa kisah wanita muda bercinta dengan lelaki lebih berusia. Sudah semestinya terdapat pihak yang memandang serong terhadap pasangan seperti ini. Namun, cinta tanpa syarat tidak akan mengenal usia.

Menyusuli drama Lara Terindah di slot Akasia, Cinta Masam Manis menampilkan Zamarul Hisham, Izara Aishah, Shah Jaszle, Raja Ilya dan Wan Nur Azlin telah pun mula bersiaran sejak 26 September 2016, jam 6.58 petang.

Drama bersiri 24 episod ini mengisahkan cinta antara seorang duda berusia 40-an bernama Johan (Zamarul Hisham) dan Sarah (Izara Aishah) yang baru mencecah usia 20 tahun. Pelbagai dugaan yang harus ditempuhi untuk mengukuhkan percintaan mereka berdua.

Menurut pengarah drama ini, Eoon Shuhaini, Cinta Masam Manis berbeza dengan kebanyakan drama yang pernah diarahkannya sebelum ini.

Jelas Eoon, kisah percintaan dalam drama ini sememangnya ada berlaku di dalam masyarakat. Bagaimanapun ia diolah dan ditambah ‘perasa’ agar lebih menarik.

“Cerita ini tidak diinspirasi dari mana-mana pasangan. Tapi kisah cinta antara lelaki lebih berusia dengan gadis muda memang ada berlaku.

“Cumanya untuk sebuah drama kita olah agar lebih menarik dan dalam masa sama, ada pengajaran untuk diteladani. Cinta ini menunjukkan cinta itu tidak mengenal usia dan kalau sudah tertulis jodoh pasti bersama juga,” ujarnya kepada MH.

Tambah Eoon, dia berbesar hati kerana berpeluang bekerja bersama pelakon lama dan baharu.

“Saya memang dah lama nak bekerja dengan Izara selepas melihat lakonannya dalam Vanilla Coklat. Saya rasa dia ada karakter tersendiri dalam lakonan.

“Alhamdulillah saya dapat bekerja dengan dia cuma pada awalnya agak sukar sampaikan apa saya mahu kepada pelakon,” katanya.

Menjalani penggambaran selama 58 hari melibatkan lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Sungai Besar, Cinta Masam Manis mengisahkan Johan, ahli perniagaan yang sudah bercerai dengan isterinya. Walaupun demikian, dia selesa dengan hidup menduda dan membesarkan dua anaknya tanpa bantuan orang lain selepas bekas isterinya meninggalkan mereka untuk ke luar negara.

Ibu dan bapa Johan teringin menjodohkan anak mereka dengan beberapa wanita, namun Johan tidak mempunyai hati untuk berkahwin semula. Sehinggalah pada suatu hari, segalanya berubah dan hati Johan terbuka menerima wanita dalam hidupnya apabila dia bertemu dengan Sarah, seorang gadis jelita dan manja yang berjaya menambat hatinya.

Sarah diperkenalkan kepada anak-anak Johan dan mereka memberi reaksi berbeza terhadap Sarah. Anak sulung Johan, Hanna (Sweet Farhana), membantah kerana jarak usia Sarah dan Hanna hanya beza dua tahun.

Hubungan Sarah dan Johan bukan sahaja menerima bantahan daripada Hanna sahaja, malah Faridah (Wan Nur Azlin) iaitu ibu kepada Sarah juga tidak berkenan dengan Johan kerana status dudanya. Faridah mahu anaknya berkahwin dengan anak kawan baiknya, Erman (Shah Jaszle).

Tidak lama kemudian, bekas isteri Johan, Tasha (Raja Ilya) pulang ke Malaysia, akan tetapi, dia kecewa apabila mendapat tahu Johan menjalin hubungan dengan Sarah.

Tasha mendapat tahu Faridah tidak merestui hubungan Johan dan Sarah, lalu dia mula bersekongkol dengannya untuk memutuskan hubungan mereka. Lebih menarik lagi, anak Johan bersetuju cadangan ibunya untuk pisahkan Johan dan Sarah.  Mampukah mereka berdua mengatasi segala ujian? Adakah Hanna merestui hubungan ayahnya dengan Sarah?
Powered by Blogger.