F Cecah Kos RM4.5 juta, Filem Chong Wei Bakal Ditayang 2018 | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Cecah Kos RM4.5 juta, Filem Chong Wei Bakal Ditayang 2018

Kisah hidup pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, bakal diabadikan dalam filem bercorak biografi yang akan menjalani penggambarannya pada pertengahan tahun depan.

Dijangka menemui penonton pada 2018, filem yang ketika ini menggunakan judul Menjulang Kejuaraan itu turut disasarkan untuk tayangan peringkat antarabangsa.

Dengan kos pembikinan dianggarkan bernilai RM4.5 juta, projek terbitan CB Pictures Sdn Bhd ini turut mendapat kerjasama daripada produksi Taiwan yang membolehkannya menembusi pasaran negara berkenaan.

Menurut pengarahnya, Teng Bee Leng, mereka mengambil masa selama tiga tahun untuk mendapatkan keizinan dan hak pembikinan filem mengenai kisah hidup wira badminton terbabit.

"Begitupun, kami masih berbincang dari segi penceritaan, sama ada ia berkisar mengenai kerjaya sukan badminton beliau ataupun kisah cinta. Kami juga masih dalam proses memujuk Chong Wei untuk berlakon dalam filem terbabit.

"Sekiranya beliau tidak berminat, kami akan mencari pelakon lain yang handal bermain badminton. Proses uji bakat bagi mencari barisan pelakonnya akan dijalankan pada hujung tahun ini," kata Bee Leng

Ketika ini, jaguh badminton negara berkenaan berada di Denmark bagi menyertai kejohanan badminton terbuka negara itu, yang bermula hari ini. Kata Beng Leng, bagi mendapatkan keaslian penceritaan, filem itu juga akan mengetengahkan dialog dalam tiga bahasa iaitu Inggeris, Mandarin dan Melayu.

"Kita menjangkakan, filem ini akan mula ditayangkan pada 2018 bukan saja di Malaysia dan Taiwan, sebaliknya turut dibawa ke peringkat antarabangsa bagi memberi inspirasi serta motivasi kepada penonton," katanya.

Menerusi video ringkasnya, Chong Wei yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio lalu berharap akan dapat memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan filem itu.
Powered by Blogger.