F Big Bang ubati kerinduan peminat | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Big Bang ubati kerinduan peminat

SUDAH lebih setahun sejak kedatangan kumpulan paling popular dari Korea Selatan, Big Bang ke Malaysia sempena konsert 2015 World Tour (MADE) Julai tahun lalu, mereka telah menunaikan janji untuk kembali bertemu peminat di Kuala Lumpur.

Menerusi Bigbang Made [V.I.P] Tour In Kuala Lumpur yang berlangsung Sabtu lalu, lebih 12,000 peminat hadir ke Stadium Merdeka, Kuala Lumpur untuk menyaksikan persembahan kumpulan paling popular di Korea Selatan itu.

Biarpun tanpa kehadiran seorang anggota kumpulan iaitu TOP, empat ahli kumpulan yang lain terdiri daripada G-Dragon, Taeyang, Seungri dan Daesung tetap berjaya menghiburkan peminat yang hadir.

Siri jelajah Big Bang 2016 MADE [V.I.P] Tour kali ini adalah sempena meraikan ulang tahun ke 10 kemunculan Big Bang dalam industri muzik yang sehingga ke hari ini menjadi kumpulan diminati bukan sahaja bagi di Asia malah Antarabangsa.

Mengimbau kembali kemeriahan konsert yang berlangsung, sekitar jam 7.45 malam kemunculan empat jejaka tampan mendapat tepukan gemuruh dan jeritan dari peminat mereka yang diberi gelaran sebagai VIP.

Seungri menyapa peminat dengan ucapan “terima kasih” disusuli Taeyang yang melaungkan ayat “aku cinta padamu” membuat seluruh stadium bersorak tanda menghargai usaha mereka belajar bertutur dalam Bahasa Malaysia.

Jam pertama acara malam itu dimulakan dengan beberapa permainan ringkas seperti teka objek dan tarik botol sekaligus memperlihatkan ragam anggota kumpulan ini yang manja dan kelakar terutama anggota termuda mereka Seungri yang terkenal dengan sifat ‘badut’nya di kalangan kelima-lima mereka.

Paling mencuit hati adalah ketika permainan yang diberi nama ‘Today Big Fan’ di mana beberapa foto peminat terpilih yang meniru gaya anggota kumpulan Big Bang dipertontonkan.

Salah satu foto adalah seorang peminat meniru gaya kelakar Daesung ketika melakonkan kembali adegan di dalam drama siri popular Korea Selatan, Secret Garden.

Melihat sahaja aksi itu Daesung nyata terkesima dan berkata : “Ini adalah perkara yang paling ingin saya lupakan. Terima kasih!” sekaligus membuat seluruh stadium tertawa.

Puas menyaksikan aksi-aksi comel mereka di atas pentas, jam seterusnya saat paling dinantikan peminat iaitu mahu mendengar lantunan suara-suara merdu Big Bang menerusi lagu popular mereka terutamanya daripada album terbaharu mereka M.A.D.E.

Mendendangkan keseluruhan 13 buah lagu antaranya Loser, Bang Bang Bang, If You, Bae Bae dan banyak lagi termasuk juga persembahan solo mereka, Seungri (V.V.I.P), Daesung (Look At Me, Gwisoon), Taeyang (Eyes, Nose, Lips) dan G-Dragon (Crooked).

Serta tidak ketinggalan lagu ‘berhantu’ yang membuatkan nama Big Bang gah di seluruh dunia iaitu Badboy dan Fantastic Baby.

Album baharu

Selesai mendendangkan kesemua lagu, keempat-empat ahli yang hadir berjanji untuk kembali ke Malaysia, memandangkan album baharu mereka kini dalam proses pembikinan.

“Terima kasih kerana tidak melupakan kami dan berharap anda semua dapat terus menyokong kami. Pastinya kami akan kembali ke sini dengan album terbaharu,” janji G-Dragon selaku ketua kumpulan.

Perkara sama juga diucap Taeyang yang mengatakan tidak mahu mengucapkan selamat tinggal.

"Kami berjanji akan kembali dengan album baharu yang kini hampir siap. Saya sayang kamu semua!," katanya.

Pengumuman Taeyang itu menambahkan rasa teruja VIP walaupun sedikit bimbang kerana beberapa anggota kumpulan mereka perlu menjalani latihan ketenteraan selama dua tahun terutama TOP yang dikatakan perlu menjalani latihan tersebut sebelum tamat tahun ini.
Powered by Blogger.