F Angan-angan Sherry jadi realiti | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Angan-angan Sherry jadi realiti

PELUANGNYA dalam mengacarakan program hiburan serantau berskala mega, Anugerah Planet Muzik 2016 (APM 2016) Jumaat lalu, pastinya menjadi momen paling berharga buat selebriti serba boleh, Sherry AlHadad, 32.

Meskipun rata-rata penonton memuji kebolehannya dalam mengendalikan rancangan tahunan tersebut bersama dua rakan pengacara lain, namun bagi Sherry ia hanyalah satu permulaan kepada lakaran jaya buat karier seninya.

“Secara peribadi, saya tidak melihat ia sebagai satu pencapaian, tetapi lebih kepada kepuasan. Saya bermula dari bawah jadi bila mendapat peluang jadi pengacara program hiburan yang turut melibatkan negara serantau lain, tentunya saya rasa bangga.

“Dulu saya penonton dan pernah berangan jadi pengacara program hiburan sebesar itu. Lalu sekarang, ia sudah jadi realiti. Saya tertanya, adakah aku berpijak pada bumi yang nyata?

“Namun jujurnya saya gementar sebab ini tawaran yang pertama seumpamanya. Untuk persediaan sebelum mengacara, saya ada lakukan rujukan mengenai personaliti rakan pengacara dan pada masa sama, saya juga ada minta nasihat daripada pengacara APM dari Malaysia yang terdahulu, Jehan Muse,” seloroh Sherry yang mula terjun ke dunia seni secara profesional menerusi drama Sutun pada 2006.

Ditanya mengenai hal tersebut dengan lebih lanjut, Sherry atau nama penuhnya, Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad mengakui Jehan ada memberinya beberapa tip yang boleh diguna pakai untuk mengendalikan program tersebut minggu lalu.

“Saya ada menghubungi Jehan. Katanya jangan gementar. Percaya dari diri yang kita boleh lakukannya,” ujar Sherry ringkas.

Jiwa lebih pada lakonan

Ditanya mengenai profil pengacaraan dan lakonan yang semakin menampakkan sinar, Sherry memberitahu bahawa jiwanya lebih kepada lakonan berbanding pengacaraan.

“Kalau ditanya antara dua bidang tersebut, rasanya jiwa dan kecintaan saya lebih terarah kepada lakonan. Memang saya sudah mula jadi pengacara untuk program kecil pada zaman belajar lalu di Akademi Seni Warisan Kebangsaan (Aswara), tetapi saya juga sejak awal sudah terdedah dengan pementasan teater. Kepuasan itu saya lebih terasa bila berlakon.

“Mungkin kerana kita kena melakukan ekspresi wajah untuk menghayati sesebuah watak yang diberikan jadi kepuasan itu lebih terasa. Apa pun setiap tawaran sama ada lakonan atau pengacaraan, saya tetap terima dengan hati terbuka kerana itulah minat dan periuk nasi saya,” ujarnya yang turut berkongsi kisah zaman remajanya yang pernah menanam angan bergelar pelakon dan pengacara versatil.

“Saya daripada kecil suka berlakon, menyanyi dan berangan-angan jadi pengacara depan cermin. Bila tonton drama di televisyen, sudah terbayang kalaulah saya pegang watak itu dan ini. Malah jiran perumahan di Taman Melawati pun semua tahu saya memang suka ke depan bila mana ada acara atau majlis sama ada untuk menyanyi atau pun mengacara. Bila mereka panggil, saya suka sangat!”

“Di bangku persekolahan pun saya lebih gemar masuk kelab kebudayaan berbanding sukan. Saya bukan dari keluarga senang jadi daripada situ saya kuatkan semangat dan belajar di Aswara untuk capai cita-cita. Daripada situlah, saya peroleh ilmu seni.

“Saya pernah ditolak mentah-mentah bila hadir ke sesi uji bakat. Tapi saya tidak pernah rasa ralat sebab saya tahu diri ini punya kelemahan, terutama fizikal saya. Tapi saya buktikan jika kita percaya pada kebolehan sendiri dengan melalui saat-saat sukar hingga pada tahap sekarang, sudah tentu pencapaian yang saya peroleh dari awal hingga kini saya anggap sebagai satu anugerah yang boleh dibanggakan.

“Ini juga rezeki dan lakukan terbaik sebab ini kerjaya yang saya inginkan. Alhamdulillah, biar dikenali pada usia 30-an, tetapi tidak mengapa. Saya berterima kasih buat semua yang sokong dari dahulu hingga kini,” sambung Sherry yang baru saja selesai menjalani penggambaran siri Oh My English dan  filem produksi Indonesia, Jangkrik Boss bersama Nora Danish.
Powered by Blogger.