F Amal AF2016 : Selamat tinggal 'busking' | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Amal AF2016 : Selamat tinggal 'busking'

Karakternya unik dan penampilannya berbeza dengan artis sedia ada. Itulah dia, Amal atau nama sebenarnya Mohamad Ammal Shafiq Osman yang baru sahaja melangkah bebas dalam industri hiburan usai Akademi Fantasia 2016 (AF2016).

Jika bercerita mengenai persembahannya pada setiap minggu, penyandang tempat kedua program realiti TV popular itu sentiasa tidak mengecewakan.

Persembahannya lincah, diadun pula dengan suaranya yang comel dan unik maka kemunculan Amal di konsert mingguan AF2016 sentiasa ditunggu serta mencuri tumpuan.

Pada usia 21 tahun, Amal sebenarnya mempunyai banyak pengalaman. Kebanyakannya digali ketika bergelar pemuzik jalanan atau ‘busker’ yang mula dilakukannya sejak empat tahun lalu.


“Selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya mencuba nasib menjadi ‘busker’ di sekitar Bukit Bintang. Di situ, saya cuba bina ‘contact’ dengan mereka yang lebih berpengalaman dalam bidang seni.

“Kemudian, saya mula bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Antara lokasi wajib saya menghiburkan orang ramai adalah di Jalan Alor dan kawasan berdekatannya,” kata Amal.

Bercerita mengenai zamannya bergelar penyanyi jalanan, Amal akui dia tidak hanya sekadar menyanyi dan bermain alat muzik, sebaliknya mencuba pelbagai kreativiti dalam menghibur.

“Saya tidak sekadar menyanyi dan bermain muzik. Saya mahu setiap penonton terhibur dan menggunakan kreativiti yang ada, saya juga tampil dengan kostum serta solekan. Pernah juga saya tampil dengan gaya solekan ala badut,” katanya.

“Paling mencabar kalau beraksi di sekitar Jalan Alor. Di lokasi itu, memang ada banyak restoran dan rata-rata ditonton ramai pelancong luar negara.

“Apa yang mencabar, saya perlu menghiburkan penonton dengan pelbagai jenis lagu. Tidak hanya menyampaikan lagu Melayu, saya juga perlu tahu lagu Inggeris serta pelbagai genre,” jelasnya.

Ditanya sama ada dia pernah berhadapan pengalaman yang kurang enak sepanjang bergelar ‘busker’, Amal bersyukur kerana ruangnya mencari rezeki dalam bidang itu sentiasa lancar.

“Alhamdulillah, sepanjang empat tahun, ramai kawan yang memberi sokongan dan berkongsi idea memantapkan persembahan di jalanan.

“Kalau di tempat lain, ada juga saya dengar beberapa ‘busker’ semacam meletakkan ‘kawasan jajahan’ mereka dan tidak mahu berkongsi ruang . Namun, sepanjang pengalaman saya, tidak pernah lagi berdepan situasi sebegitu,” katanya.

Pernah cuba uji bakat AF 2013

Siapa sangka, tahun ini, rezeki menyebelahi anak kedua daripada tujuh beradik ini apabila dipilih menjadi peserta AF2016 sekali gus menyandang gelaran naib juara.

“Saya pernah mencuba nasib pada sesi uji bakat AF2013 namun nasib tidak menyebelahi pada waktu itu. Kemudian, saya teruskan mengasah bakat dan pada tahun ini, saya tergerak hati untuk mencuba sekali lagi.

“Jadi apabila diumumkan naib juara, saya rasa macam bermimpi. Apa lagi apabila melihatkan saingan yang semuanya hebat-hebat belaka,” katanya.

Selain nyanyian, Amal juga pernah bergiat aktif dalam pementasan teater dan drama.

“Ketika zaman kanak-kanak saya pernah beberapa kali berlakon teater dan kali terakhir beraksi di pentas teater adalah ketika berusia 14 tahun untuk teater muzikal kanak-kanak Sinbad.

“Namun tentunya fokus saya sekarang adalah kepada muzik. Bagaimanapun, kalau ada tawaran untuk lakonan dan wataknya sesuai, saya mungkin akan pertimbangkan,” katanya.
Powered by Blogger.