F Afdlin yakin walaupun masa suntuk | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Afdlin yakin walaupun masa suntuk

Kurang sebulan, Mahaguru Spontan bakal dipentaskan di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur dan tempoh berkenaan terlalu suntuk untuk menarik perhatian orang ramai membeli tiket menyaksikan persembahan selama dua hari itu.

Menurut Afdlin Shauki selaku penerbit, pada mulanya dia risau memikirkan perkara itu tetapi kini lega apabila barisan artis yang bakal terbabit bukan calang-calang.


Berkongsi mengenai penganjuran yang agak tergesa-gesa, Afdlin yakin ia mampu menarik ramai penonton.

“Rancangan asal program ini untuk tahun depan. Bagaimanapun, pihak Istana Budaya ada slot kosong hujung bulan ini dan minta kami buat persembahan.


“Mulanya saya agak risau kerana hanya ada empat minggu sahaja bagi mendapatkan pengesahan penyertaan rakan artis. Syukur, minggu lalu mereka bersetuju turut serta.

“Bagaimanapun, agak ralat kerana kami hanya mampu buat persembahan selama dua hari. Ikutkan saya cadangkan tiga hari tetapi pada 21 Oktober ramai sudah ada komitmen lain,” katanya.

Menariknya, nama penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza turut ada dalam senarai pelawak yang bakal beraksi dalam Mahaguru Spontan.

Afdlin berkata, dia mengundang Siti kerana tahu penyanyi tersohor itu boleh menjadi tarikan utama. Lagipun, dia tahu kemampuan dan semangat penyanyi itu.

“Pada minggu kelapan Super Spontan baru-baru ini, Siti diundang sebagai pengkritik. Pengurusnya memaklumkan kepada saya Siti tidak mahu jadi pengkritik sebaliknya mahu turut beraksi dalam permainan itu.

“Mulanya agak terkejut juga dengan permintaan itu tetapi saya tahu boleh mengajar dia teknik bermain. Ternyata dia seronok apabila dapat main bersama peserta lain.

“Jadi, terfikir alangkah bagus kalau dia dapat turut serta dalam Mahaguru Spontan. Syukur dia bersetuju dengan idea ini,” katanya.

Pada masa sama, Afdlin gembira apabila pelawak semakin diterima untuk beraksi di pentas berprestij IB. Ia petanda baik arena komedi di negara ini semakin berkembang dan dihormati.

“Dulu, komedi hanyalah tempelan di mata ramai. Dalam filem misalnya, watak komedi hanya main peranan kecil sahaja.

“Bagaimanapun, saya perasaan dalam satu acara baru-baru ini pelawak bukan lagi ditampilkan sebagai selingan sebaliknya penyanyi mengisi tempat itu.

“Bukan mudah dapat slot beraksi di IB, ada banyak aspek yang dilihat dan paling penting pengisiannya mesti bagus. Persembahan sebelum ini seperti Cuci The Musical dan Lawak Ker Der berjaya membuktikan pelawak layak beraksi di IB,” katanya.

Mahaguru Spontan bakal menampilkan Afdlin, Siti, Douglas Lim, Abam Bocey, Achey Bocey, Datuk AC Mizal, Johan Raja Lawak, Zizan, Rashid Salleh, Fad Bocey dan Kuah Jenhan.

Ia bakal berlangsung pada 22 serta 23 Oktober, jam 3 petang dan 8 malam. Tiket berharga RM38, RM88, RM108, RM128, RM138 dan RM188 boleh dibeli menerusi www.redtixairasia.com.
Powered by Blogger.