F 7.7 juta pengikut di laman sosial | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

7.7 juta pengikut di laman sosial

Stesen radio di bawah Rangkaian Radio Media Prima (RRMP) memperlihatkan pencapaian memberangsangkan dengan merekodkan angka yang baik untuk kategori kolar putih iaitu golongan eksekutif dan profesional serta mencapai sasaran pendengar asas bagi setiap stesen.

Ketua Pegawai Eksekutif RRMP Seelan Paul berkata, terjemahan nombor ini datang daripada penyampaian pengisian yang terbaik melalui pelbagai platform seperti media sosial, pendekatan digital melalui pengisian video yang diterima baik oleh pengguna kandungan.


“Kejayaan ini juga adalah rangkuman hasil usaha warga kerja radio sebagai satu entiti. Kami sentiasa memandang ke hadapan dan RRMP akan terus menyahut cabaran dalam menyampaikan pengisian lebih baik kepada pendengar.

“Tidak hanya di radio, malah di platform lain iaitu digital seperti YouTube dan media sosial,” katanya.


Seelan berkata, visi RRMP ialah untuk menjadi jenama yang memberikan pengisian segar dan kreatif untuk muzik, hiburan dan gaya hidup yang relevan buat pendengar setiap stesennya.

“Seiring dengan perubahan landskap penyiaran yang semakin kompetitif, RRMP turut menitikberatkan peranan media sosial dalam operasi harian,” katanya.

Terkini, jumlah terkumpul bagi pengikut laman sosial rasmi bagi empat stesen radio berkenaan iaitu Hot FM, Kool FM, Fly FM dan One FM sudah mencecah lebih 7.7 juta pengikut.

Malah, jumlah pembabitan pendengar melalui media sosial empat stesen berkenaan mencapai 5.3 juta serta jumlah capaian terkini adalah 26.6 juta.

Seelan berkata, statistik ini jelas menunjukkan kekuatan media baru dalam mempengaruhi kehidupan harian pendengar serta menjadi elemen utama dalam mempengaruhi keputusan rakan pengiklan di RRMP.

“Bagi sentiasa dekat dengan pendengar, mereka boleh berinteraksi secara langsung dengan penyampai bertugas melalui applikasi WhatsApp rasmi di setiap stesen radio berkenaan,”katanya.

Selain itu, RRMP juga adalah rangkaian stesen radio yang pertama di Malaysia menggunakan applikasi ini untuk berhubung secara langsung dengan pendengar mereka dalam masa sebenar.
Powered by Blogger.