F Volunteer Malaysia kembali dengan lebih efektif | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Volunteer Malaysia kembali dengan lebih efektif

PROGRAM ‘Volunteer Malaysia’ yang merupakan gerakan sukarelawan terbesar iM4U kini kembali dengan aktiviti lebih menarik untuk tahun 2016.

Memasuki tahun ketiga penganjurannya, program ini mendapat sokongan penuh dan kerjasama dari Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia serta MR D.I.Y.

Selain itu, pelbagai pihak turut terlibat dan menyatakan sokongan seperti Giatmara, Kolej Komuniti, Politeknik, agensi-agensi kerajaan serta kerajaan tempatan seluruh negara.

Dengan objektif memupuk semangat kesukarelawan dan aktiviti sosial melalui pelbagai aktiviti ini akan berlangsung pada 24 September ini secara serentak di 13 buah negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

Tahun lalu menyaksikan penganjuran paling gemilang buat program kesukarelawan ini apabila hampir 250,000  jam sukarelawan dicatatkan untuk aktiviti penanaman pokok, memperbaiki semula harta benda awam, usaha mencegah denggi, mengumpul barangan kitar semula dan juga membersihkan kawasan dalam air dan pantai.

Menariknya pada tahun ini, Volunteer Malaysia turut membabitkan penyertaan sukarelawan dari Korea Selatan dan Mesir yang turut menyokong inisiatif  melalui iM4U International Outreach Centre.

Ketua Pegawai Eksekutif iM4U, Rudy Malik, berkata, objektif utama program ini adalah untuk memupuk sikap kemasyarakatan yang penyayang dan lebih bertanggungjawab.

“Kami amat berbangga kerana Volunteer Malaysia dapat mengubah hidup pelbagai lapisan masyarakat.

“Program ini bukan sahaja dapat berjaya menarik minat sukarelawan tempatan, malah dari peringkat antarabangsa. Ia menggalakkan semua orang untuk melakukan aktiviti yang dapat memberikan kebaikan bersama kepada masyarakat. Untuk tahun ini, kami berharap dapat mencatatkan lebih banyak waktu jam berbanding tahun lalu,” katanya yang ditemui di majlis pelancaran program ini, semalam.

Dalam masa sama, Rudy turut memperkenalkan barisan ikon ‘Volunteer Malaysia’ untuk tahun 2016 yang terdiri daripada Thanuja Ananthan, Baki Zainal, Atu Zero, Fiza, Tyler, TV dan Nadiyah Shahab. Selain mereka, duta iM4U, seperti Anand Rajaram, FaizDickie, Sangeeta dan Sazzy Falak juga akan memberikan sokongan kepada program ini dengan menyertai aktiviti-aktiviti yang akan berlangsung di beberapa lokasi terpilih seluruh negara.

Aktiviti untuk program ini dibahagikan kepada empat bahagian iaitu Prihatin, Green Team, Public Art Movement dan Better City.

Setiap bahagian ini mempunyai peranan dan aktiviti yang tersendiri.

Salah seorang selebriti yang terlibat, Thanuja Ananthan menyatakan rasa terujanya apabila terpilih untuk menjayakan program ini.

“Ini merupakan kali pertama saya menyertai program ‘Volunteer Malaysia’ bersamai M4U. Ia sebuah program yang sangat menarik dan saya  tidak sabar untuk melakukan aktiviti ini bersama sukarelawan lain.

“Saya dan Jiggy (penyampai iM4U) akan ke Negeri Sembilan dan Melaka untuk melakukan aktiviti di bawah kategori Better City. Saya harap aktiviti sebegini akan diteruskan pada masa akan datang untuk memupuk masyarakat yang positif,” katanya.
Powered by Blogger.