F Tun M bersuara mengenai replika helang | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Tun M bersuara mengenai replika helang


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan replika helang yang dibina di Langkawi, Kedah bukannya tuhan untuk disembah.

Menerusi tulisan terbaharu di blognya, bekas perdana menteri berkata jadi cadangan untuk  merobohkan patung itu tidak akan menjadikan orang Melayu lebih Islamik.

"Mereka perlu diberitahu bahawa helang bukan tuhan untuk disembah. Setakat ini tiada orang Islam yang pernah berdoa di hadapan atau sujud menyembah patung helang di Langkawi.

"Memusnahkannya tidak akan menjadikan orang Melayu lebih Islam," katanya.

Mahathir berkata demikian dipercayai merujuk pandangan sesetengah ulama yang menyatakan bahawa replika patung hidup tidak boleh dibina kecuali ia perlu dicacatkan sesetengah anggota badanya.

Terdahulu, projek pembinaan replika burung helang itu dibuat oleh tokoh korporat terkenal, Tan Sri Lee Kim Yew setelah menerima pelawaan oleh Mahathir dengan kos perbelanjaan sebanyak RM1.3 juta kira-kira 20 tahun yang lalu.

Isu replika burung helang di Pulau Langkawi ini timbul berikutan kenyataan Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim beberapa hari lalu.

Ketika memberitahu Sinar Harian, Zamri berasa kesal apabila larangan pembinaan replika berbentuk haiwan diputar belitkan oleh media hingga mengalih isu sebenar diajukan kepada Jabatan Mufti Perak.

Katanya, larangan pembinaan replika haiwan secara sempurna itu adalah menjawab pertanyaan sebuah agensi kerajaan tempatan di Perak dan tidak merujuk kepada replika burung helang di Pulau Langkawi mahupun Tugu Negara.

Mengulas lanjut Mahathir berkata  pandangan Islam terhadap patung yang perlu dirobohkan hanya berkaitan dengan patung-patung yang disembah sebagai tuhan.

"Pada satu ketika potret dicat itu juga dilarang. Khalifah Turki juga mempunyai potret mereka yang dilukis tetapi ia tersembunyi daripada orang ramai.

"Tetapi kini dengan kemajuan dalam fotografi adalah mustahil bagi umat Islam untuk mengharamkan gambar fotografi manusia dan haiwan. Sesetengah ulama menyatakan bahawa gambar pegun boleh dikecualikan tetapi tidak gambar bergerak.

"Tetapi sekarang, gambar-gambar bergerak dan bercakap. Umat Islam kini mengabaikan sahaja peraturan terhadap potret atau gambar, sama ada bergerak atau bercakap. Malah ulama kini mempunyai gambar mereka," katanya.

Dalam pada itu, mengambil Mesir sebagai satu contoh, Mahathir berkata walaupun Islam majoriti disana namun patung Firaun tetap dipelihara dan salinan patungnya dibuat.

"Di Malaysia kita mempunyai Tugu Negara dan patung perdana menteri pertama negara ini. Umat Islam moden tahu bahawa ini bukan tuhan dan mereka tidak menyembahnya.

"Kita tidak lagi mengadakan majlis di tugu peringatan kerana boleh ditafsirkan sebagai sejenis sembahan. Tetapi kita tidak mempunyai upacara itu di hadapan patung perdana menteri pertama atau helang di Langkawi. Kita tidak melanggar kehendak Islam," katanya lagi.
Powered by Blogger.