F Titian populariti Raja Afiq, Niena Baharun | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Titian populariti Raja Afiq, Niena Baharun

KEDUA-DUANYA masih terlalu ‘hijau’ dalam industri lakonan, namun siapa sangka, pasangan pelakon baharu ini berjaya mencetuskan fenomena tersendiri menerusi drama bersiri, Sayangku Kapten Mukhriz.

Situasi itu menjadikan hero dan heroin terbaharu, Raja Afiq dan Niena Baharun terus mengecap glamor atau populariti dalam sekelip mata.

Mengakui ‘takut’ dengan situasi itu, kedua-dua bintang ini bagaimanapun lebih senang mendahulukan prestasi sebagai pelakon.

Jadi versatil: Raja Afiq

Biarpun watak Kapten Ustaz Mukhriz berjaya mempopularkannya, Raja Afiq mengakui tidak mahu peminat melihatnya sebagai pelakon yang terikat dengan satu watak sahaja.

Pelakon berusia 22 tahun ini sebaliknya mahu dikenali sebagai pelakon serba boleh sekali gus berupaya membawa pelbagai watak yang diberikan.

“Alhamdulillah. Ini permulaan baik untuk saya. Lagipun, saya masih baharu dan terlalu banyak perlu saya belajar.

“Jadi, adalah penting untuk saya cuba membawa watak berlainan agar penguasaan dan kebolehan saya bermain emosi dapat dipelbagaikan,” katanya kepada Zass ketika ditemui pada tayangan akhir drama itu, baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, pemilik nama sebenar, Raja Muhammad Afiq Raja Razali ini juga bersedia berdepan pelbagai kritikan demi kelangsungan kerjaya seninya.

“Alhamdulillah, bakat saya semakin dipandang dan tawaran berlakon juga semakin bertambah. Alhamdulillah, apa yang saya hajati selama ini tercapai jua.

“Seiring dengan itu, saya tahu saya harus hadapi pelbagai cabaran dan dugaan.

“Biarlah sebanyak mana dugaan yang perlu ditempuh, semangat saya takkan sesekali luntur.

“Saya sebaliknya akan ambil ia dari sudut yang positif seterusnya dijadikan sebagai panduan demi meningkatkan lagi mutu lakonan,” kata juara pencarian bakat dalam Drama Festival Kuala Lumpur 2014 (DFKL2014).

Dalam perkembangan lain, kekasih kepada pelakon Anis Al-Idrus ini akan muncul dalam beberapa telefilem dan drama bersiri iaitu Ok Bah Kalau Kau, Lara Tangisan Umairah dan Tangisan Izara tidak lama lagi.

Tidak gentar: Niena Baharun

Kehadiran ramai bakat baharu tidak sedikit pun menggentarkan semangat pelakon yang semakin meningkat naik, Niena Baharun.

Pemilik nama sebenar Amaniena Baharun ini sebaliknya lebih selesa menyerahkan kepada takdir yang menentukan segalanya.

“Ya, saya perlu berdepan ramai pesaing, namun saya suka melihatnya daripada sudut positif.

“Apa yang penting, saya melakukan yang terbaik Lagipun, terpulang rezeki masing-masing,” katanya.

Mengakui bakat lakonannya semakin dipandang, pelakon berusia 23 tahun ini juga sudah bersedia berhadapan dengan sebarang kontroversi.

“Sebelum berkecimpung dalam industri, saya ada membuat pemerhatian mengenai perjalanan anak seni.

“Saya tahu kontroversi dalam industri itu ada, tetapi saya akan lebih berhati-hati dan cuba untuk mengelak,” katanya yang juga tidak suka terjebak dalam cinta lokasi.

Pun begitu, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini mengakui bukanlah mudah untuk bergelar pelakon.

“Saya serius dalam bidang ini. Selain meneruskan minat yang ada, industri ini juga merupakan peluang pekerjaan saya.

“Saya sedar, saya masih baharu dalam industri. Mungkin banyak perlu saya pelajari untuk jiwai watak dan karakter.

"Insya-ALLAH, saya akan terus belajar dan cuba sahut cabaran bagi memperbaiki mutu lakonan,” katanya yang mengimpikan karakter wanita lasak.

Powered by Blogger.