F Tindakan Shafie ambil alih parti, tidak digeruni | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Tindakan Shafie ambil alih parti, tidak digeruni

Pengerusi Gerakan Akar Umbi Umno Malaysia (GAUM) Zulkarnain Mahdar berkata tindakan bekas Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengambil alih parti sedia ada yang telah berdaftar di Sabah, bukan suatu perkara yang luar biasa dan perlu digeruni.

Sebaliknya, ia menunjukkan betapa suburnya demokrasi di Malaysia, kata Zulkarnain.

Beliau berkata tindakan Mohd Shafie yang juga anggota Parlimen Semporna itu, sedikit pun tidak akan mengubah keyakinan ahli Umno Sabah untuk terus setia bersama parti berkenaan, malahan menurut Zulkarnain ia akan memperkuatkan lagi keyakinan semua ahli Umno di negeri ini.

"Walaupun lebih ramai wakil rakyat pembangkang di Sabah yang kononnya menyertai (Shafie), namun ia adalah satu taktik mempromosikan parti berkenaan yang kelihatan bersifat popular sementara.

"Ia jelas sama sekali tidak akan mengubah landskap politik di Sabah, di mana diketahui umum majoriti kerusi Dun Sabah ketika ini dimiliki oleh Barisan Nasional (BN) dengan 48 kerusi.

"Manakala pembangkang kini hanya kekal sebanyak sembilan kerusi. Walaupun kesemua kerusi pembangkang menyertai parti (Shafie) Sabah masih kekal kukuh di bawah  pemerintahan BN," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Zulkarnain, yang juga Pengerusi Pakatan NGO Pro Barisan Nasional berkata Mohd Shafie gagal membantu menangani masalah jalan, air dan elektrik khususnya di Sabah semasa menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sebelum ini.

"Beliau (Shafie) telah diberikan peluang keemasan mengetuai KKLW, namun gagal walaupun diberikan peruntukan berbilion ringgit setahun.

"Malahan wujudnya pinjaman untuk peniaga dan usahawan tanpa penjamin dan cagaran di bawah kementeriannya pada masa itu langsung tidak dimanfaatkan untuk membantu rakyat Sabah," kata Zulkarnain.
Powered by Blogger.