F 'Terima kasih Rahman Dahlan' | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

'Terima kasih Rahman Dahlan'

Pas menzahirkan ucapan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan kerana didakwa mengesahkan bahawa ‘Malaysian Official 1’ (MO1) adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata, apa yang menimbulkan tanda tanya apakah pengakuan ini mendapat persetujuan Kabinet dan juga Perdana Menteri.

"Apakah pengakuan ini juga bermakna dakwaan saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat ada asasnya? Jika tiada asas, masakan boleh samakan MO1 itu ialah PM?

"Alang-alang Abdul Rahman telah mendedahkan siapa MO1 bolehlah beliau bantu menjawab apakah betul duit 1MDB yang telah masuk ke akaun PM dan apakah cerita bahawa duit di akaun itu daripada dermawan Arab itu dongeng semata-mata?," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Rahman sebelum ini dipetik sebagai mengesahkan bahawa MO1 yang dirujuk sebanyak 36 kali dalam saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan penyelewengan dana 1MDB adalah Najib.

Memetik laporan BBC News, Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, jika dibaca secara jelas dokumen itu ia secara jelas merujuk kepada Najib.‎

"Saya telah kata secara terbuka. Jelas sekali jika kamu membaca dokumen berkenaan, ia adalah perdana menteri," katanya.‎

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, pengakuan Abdul Rahman juga sepatutnya menjadi berita baik kepada kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad yang kini giat membanteras rasuah.

"SPRM perlu membuka kembali kes 1MDB dan dana masuk ke akaun PM dengan menyiasat segala dakwaan DOJ secepat mungkin agar pihak luar tiada peluang untuk mencampuri urusan pentadbiran negara. SPRM juga perlu menggesa Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali untuk menilai kes 1MDB semula.

"Pas dan kami yakin semua parti politik akan menyokong penuh SPRM dalam usaha ini untuk menaikkan lagi imej SPRM dan menangkis tuduhan bahawa SPRM tidak berani menangkap ikan jerung," katanya.
Powered by Blogger.