F 'Tak suka kaum lain duduklah di pulau' | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

'Tak suka kaum lain duduklah di pulau'

SELASA lalu golongan netizen dikejutkan dengan viral tentang bagaimana seorang wanita menjual daging jeruk berhadapan dengan pelanggan yang enggan berurusan dengannya setelah mengetahui dia mempunyai anak kacukan warga Afrika.

Menceritakan semula kejadian, Noor Akmar Kamaruddin, 29, atau dikenali sebagai Emma Adelia berkata, pada hari berkenaan semuanya berjalan tenang sehinggalah dia dikejutkan dengan mesej seorang pelanggan bernama Safina Said.

"Safina beritahu nak beli daging jeruk yang saya jual. Saya pun balas dengan elok dan terangkan dia pakej yang ada.

"Tiba-tiba dia alih topik dan bertanya siapa budak kecil yang bersama saya dalam gambar profil Facebook. Tanpa berfikir serong, saya beritahu itu anak saya," kata Noor Akmar yang lebih mesra disapa Emma.

Menurut Emma, tanpa diduganya, wanita tersebut masih mahu memanjangkan perbualan dan bertanya lagi sama ada rambut anaknya yang kerinting itu asli.

"Saya pun terangkan yang anak saya kacukan Melayu-Afrika (dari Nigeria) dan sungguh tak sangka apabila Safina memberi reaksi terperanjat," katanya kepada Sinar Harian.

Emma berkata, sebaik mendengar jawapan itu, Safina memberitahu dia enggan meneruskan urus niaga kerana suaminya tidak membenarkan dia terlibat dengan warga Afrika.

"Dia kata rupa dan perangai orang Afrika buruk. Saya pun tanyalah sama ada dia pernah ada masalah dengan mereka, dia kata tak. Jadi saya terdiam sekejap dan mula fikir, apa sebenarnya masalah Safina ni," kata Emma yang merupakan seorang ibu tunggal yang membesarkan anaknya, Qiesya Adelia, 3, sendirian.



Katanya yang sudah dilatih untuk sentiasa melayan pelanggan dengan baik, dia akhirnya mengambil keputusan untuk memberi respons secara berhemah namun sedikit sinikal.

"Saya cakap saya pun tak dapat nak berurusniaga dengan dia (Safina) sebab saya tak suka jadi rasis. Kemudian saya kata lagi,  anak saya walaupun campuran darah Afrika tapi dia cantik, tak macam wajah dan hati dia yang buruk," kata Emma yang mengakui dia hanya bertujuan mahu menyedarkan Safina setelah tergores dengan kata-kata wanita itu.

Bagaikan terpukul dengan kata-kata sendiri dan setelah screen-shot perbualan mereka dimuatkan Emma dalam statusnya di Facebook, Safina bertindak menutup akaun laman sosialnya.

"Saya memang terkejut, tak sangka dia boleh kata begitu. Serius saya terperanjat ada lagi orang Malaysia yang anti-perkauman macam tu sekali. Dia tak tahu anak-anak campuran Malaysia-Afrika ramai kat negara ni. Kalau dia tahu mungkin akan malu sendiri," tegas Emma.

Tambah ibu muda yang berasal dari utara tanah air ini, dia sudah biasa berhadapan dengan pelbagai kata-kata tidak enak tentang dirinya dan Qiesya, namun memutuskan untuk 'buat biasa'.

"Biasanya orang awam suka tanya sama ada Qiesya tu anak betul saya atau anak angkat. Saya terangkan baik-baik saja sebab mereka tanya pun dengan elok. Tapi kali ni lain pula jadinya.

"Takpelah saya doakan Safina bahagia berurusan dengan warga tempatan atau bangsa lain yang bukan negro," katanya sinis.

Emma yang juga seorang pengasuh bayi di kawasan perumahannya di Ampang berkata, dia kesal terpaksa berhadapan dengan insiden itu namun bersyukur menerima sokongan padu rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, terutama setelah kisahnya dikongsi semula oleh beribu-ribu netizen.

"Ramai yang menyokong dan bagi semangat, tak kurang juga yang negatif dan sanggup kata ini strategi saya nak lakukan barang dijual. Tolonglah, saya ni berniaga dari rumah saja. Kecil-kecilan pula tu.

"Saya cuma nak orang tahu ada anak kacukan warga Afrika bukan satu dosa. Ia tak ada kena mengena dengan perniagaan yang saya buat. Saya cuma seorang ibu tunggal yang bertungkus-lumus cari rezeki halal demi membesarkan anak saya Qiesya, itu saja.

"Kepada Safina dan mereka di luar sana yang suka memandang hina kepada kaum lain, anda patut duduk di pulau dan berurus niagalah dengan diri sendiri saja," katanya.
Powered by Blogger.