F Sultan Johor reda tidak dapat tunai haji | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Sultan Johor reda tidak dapat tunai haji

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar reda tidak dapat menunaikan haji  pada musim ibadah berkenaan kali ini kerana baru menjalani rawatan angioplasty.

“Saya sesungguhnya ingin bersama mereka, saya reda menerima ketentuan Allah SWT, bahawasanya hanya DIA sahaja Yang Maha Mengetahui.

“‘Mereka membuat rancangan dan ALLAH juga membuat rancangan, dan ALLAH adalah sebaik-baik pengatur rancangan’ (ayat 30, Surah Al-Anfal, Kitab Suci Al-Quran).

“Saya berdoa agar isteri dan anak-anak saya serta rombongan mereka akan sentiasa berada di dalam lindungan Allah SWT dan selamat di sepanjang perjalanan pergi dan balik ke Tanah Suci.

“Moga Allah menerima ibadah haji mereka,” titah baginda dalam laman Facebook rasminya, hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, pada tahun 1985, baginda bersama isteri telah menunaikan ibadah haji bersama-sama.

“Tahun ini, setelah kemangkatan anakanda kami, Almarhum Tunku Laksamana, saya dan keluarga telah bercadang untuk berangkat ke Tanah Suci Mekah pada 5 September (hari ini) supaya salah seorang daripada ahli jemaah rombongan kami dapat menunaikan ibadah haji bagi almarhum anakanda saya.

“Kami juga telah memutuskan bahawa beberapa orang pegawai kerajaan negeri dan petugas istana turut serta mengiringi kami.

“Namun, setelah menjalani prosedur ‘angioplasty’ empat hari lalu, doktor-doktor yang merawat saya telah menasihatkan saya agar tidak berangkat mengerjakan ibadah haji kerana ia bukan sahaja membabitkan perjalanan yang jauh, namun juga pelbagai cabaran fizikal yang lain,” katanya.

Titah baginda lagi,  keluarganya dan ahli-ahli rombongan tidak mahu meneruskan hasrat untuk ke tanah suci tanpa dirinya, namun, ia adalah menjadi hasrat baginda agar mereka menyempurnakan perancangan tersebut.

“Saya mahu para pegawai kerajaan negeri tersebut dan petugas saya berpeluang menunaikan ibadah Haji kerana mereka mungkin tidak berpeluang berbuat demikian pada masa yang lain,” titahnya.

Baginda berharap semua yang akan mengerjakan ibadah haji tahun ini selamat dan haji diterima oleh yang maha Esa.

“Kepada Muslimin dan Muslimat, saya mengucapkan Selamat Menyambut Aidil Adha,” titahnya.

Terdahulu, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idrish bersama Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah berangkat ke tanah suci hari ini untuk menunaikan ibadah rukun Islam yang kelima.

Rombongan keluarga Diraja Johor itu turut disertai Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut yang akan melakukan ibadah badal haji untuk Almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil.
Powered by Blogger.