F Suka duka perjalanan Akrab | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Suka duka perjalanan Akrab

SEPANJANG jalan penuh liku dalam mengangkat martabat dan nilai seni teater, Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Negeri Kedah (Akrab) tidak pernah berputus asa malah banyak kenangan pahit dan manis ditempuhi bersama.

Bermula dengan hanya 15 ahli, Akrab kini mampu berbangga dengan keahlian yang begitu ramai walaupun ahli persatuan bersifat datang dan pergi kerana mempunyai komitmen masing-masing.

Pengerusinya, Saipol Bahari Mohd Iman berkata, Akrab bermula pada 1998 namun ia terbentuk bukan di atas dasar mahu berteater.

“Persatuan ini menjadi tempat tumpuan anak-anak muda ‘lepak’ dan berkongsi cerita, pandangan serta idea masing-masing dalam pelbagai hal.

“Mula-mula kami cuba berteater untuk isi masa lapang walaupun pada masa itu kami tiada ilmu berlakon dan asas teater yang sebenar.

“Namun lama kelamaan kami seronok berteater dan terus menerima ahli yang mahu turut serta dalam kumpulan ini seterusnya mula mendalami ilmu teater yang sebenarnya,” ceritanya.

Menurutnya, banyak masa dan pengorbanan dicurahkan terutamanya oleh bekas pengerusi, Allahyarham Wan Suhairi Wan Senu dalam membentuk Akrab yang teguh berdiri seperti yang dapat dilihat hari ini.

“Allahyarham sentiasa ada dalam semangat kami setiap kali berteater malah susah payah yang dilalui bersama sejak awal Akrab bertapak sehinggalah dikenali hari ini.

“Segala ilmu yang dikongsi bersama, jerih perih yang dilalui dalam mengangkat martabat Akrab sebagai sebuah persatuan teater yang memiliki nama dan kedudukan tersendiri,” katanya.

Selain itu katanya, nama Rosnan Nordin juga tidak pernah jauh dari akrab kerana figura dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu banyak membantu Akrab termasuk dari segi kewangan terutamanya ketika mereka mula bertapak.

Rahsia kejayaan

Saipol merupakan pengarah prolifik yang disegani malah pernah menyandang pengarah terbaik Festival Teater Kebangsaan. Beliau mempunyai identiti yang tersendiri di dalam kerja-kerja pengarahan dan juga lakonan.

Namun katanya, rahsia kejayaan mereka terletak di atas kesungguhan setiap ahli yang membuat latihan berterusan selain aktif mengadakan persembahan di Kedah.

“Kami bermula dengan pertandingan teater di Kedah, pada awalnya mahu suka-suka namun selepas memenangi Festival Teater pada 1999, ia membakar semangat kami.

“Kami meneruskan perjuangan di mana setiap usaha yang dilakukan mendapat perhatian pihak JKKN yang banyak membantu kami meneruskan bakat, idea dan perkembangan Akrab secara keseluruhannya,” katanya.

Menurutnya, kejayaan demi kejayaan dicipta barisan anak muda Akrab yang mahu belajar walaupun kegiatan mereka tidak pernah diberi sebarang pulangan atau ganjaran dari segi kewangan.

“Kami dah buat pelbagai genre teater termasuk bangsawan seperti Mek Mulong dan banyak lagi. Saya sendiri tidak belajar secara formal dalam seni teater, tetapi saya rapat dengan nama-nama besar antaranya Prof Madya Dr Samad Salleh, Normah Nordin dan Zaifri Husin.

“Saya timba pengalaman menerusi bengkel dan hubungan secara peribadi dengan mereka. Alhamdulillah mereka banyak membantu saya mencetuskan idea segar dalam berkarya,” katanya.

Baginya, dalam setiap penglibatan penampilan Akrab bukanlah untuk bertanding semata-mata tetapi lebih kepada menyokong penganjuran Festival Teater Malaysia (FMT) selain menjadi platform untuk setiap ahli mengasah bakat masing-masing.

Bermula dengan Akrab

Pelakon terkenal, Hairi Safwan yang ditemui turut mengakui banyak yang dipelajarinya sejak bersama dengan Akrab pada 2001 iaitu ketika berumur 13 tahun.

“Banyak pengalaman yang saya timba ketika menganggotai kumpulan ini sebelum melanjutkan pengajian dalam jurusan teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

“Melalui Akrab juga saya menimba ilmu, walaupun bukan secara formal seperti yang diperoleh di Aswara, namun keinginan dan kesungguhan setiap anak muda walaupun dalam serba kekurangan menjadi penguat semangat untuk terus aktif dalam seni teater tanah air,” katanya.

Kata juara Anak Wayang musim pertama ini, segala jasa yang dicurahkan setiap individu dalam Akrab sentiasa dihargai malah sehingga saat ini beliau masih berlakon teater di bawah persatuan tersebut.

“Tiada istilah masyhur bagi saya kerana apa yang penting kita sentiasa mengingati titik permulaan bagi kejayaan yang diperoleh selain melakukan setiap usaha secara bersungguh-sungguh.

“Itulah semangat yang ada dalam Akrab. Saya berharap Akrab akan terus kekal dalam mendidik anak-anak muda agar mencintai seni teater yang memerlukan sokongan dan dukungan generasi muda bagi memastikan kelangsungannya,” katanya.
Powered by Blogger.