F Suara di sebalik wajah | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Suara di sebalik wajah

BERGELAR pembaca berita tidak hanya bercakap soal glamor dan populariti semata-mata. Dasarnya, itu adalah pandangan lapuk mengenai kerjaya sebagai perantara televisyen.

Hakikatnya, menjadi pembaca berita adalah kerjaya yang penuh dengan cabaran dan keseronokan. Namun, bukanlah mudah untuk menjadi pembaca berita yang baik dan berkesan.

Tambahan pula, bidang ini menuntut profesionalisme yang sangat tinggi. Oleh itu, bukanlah sembarangan individu mampu melakukannya.

Itulah yang dikongsi tiga pembaca berita veteran, Farit Ismeth Emir, Harjit Singh Hullon dan Christine Ling sempena sambutan Hari Malaysia, tahun ini.

Peka hal ehwal semasa: Farit Ismeth Emir

Tiada sebarang kelayakan akademik dalam bidang penyiaran, Farit Ismeth Emir tetap berani mengambil risiko.

Berbekalkan ‘suara’ emas yang dimiliki, tuah ternyata berpihak pemegang ijazah dalam bidang perhotelan dan antropologi ini.

“Semuanya terjadi secara kebetulan. Ketika itu, saya berusia 33 tahun dan baharu pulang dari luar negara.

“Saya terbaca iklan di dalam surat khabar yang mencari bakat baharu sebagai pembaca berita di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Tanpa berlengah, saya segera menghadiri temuduga dan tidak sangka berjaya melaluinya,” katanya.

Pun begitu, Farit mengakui mengambil tempoh sehingga dua tahun untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

“Pada awalnya, saya agak kekok, tetapi saya belajar mengenai selok-belok bidang ini  secara perlahan-lahan.

“Saya juga punya mentor sebagai rujukan seperti Faridah Merican dan Kamarudin Ahmad.

“Bermula daripada bawah, saya akhirnya diberi tanggungjawab mengendalikan Dunia Jam 10 (kini Bes Dunia),” katanya.

Bahkan, Farit mengaku segmen Bes Dunia juga yang membantu menaikkan namanya sebagai pembaca berita.

“Pembaca berita bagi segmen ini sedikit berbeza.

“Namun, apa yang penting, saya perlu peka dengan hal ehwal semasa yang berlaku,” katanya yang telah berkhidmat hampir 30 tahun dengan RTM.

Jelasnya lagi, seorang pembaca berita yang baik dan berkesan seharusnya menghayati cerita ketika menyampaikannya.

“Sebab itu, kita perlu mengetahui hal ehwal perkembangan semasa, jadi apabila membaca berita kita tidak sekadar hanya menyebutnya.

“Ia berbeza dengan situasi wartawan di lokasi. Kita tidak berada di tempat kejadian jadi kita harus menyampaikannya dengan lebih intelek.

“Kini, saya lihat, ada pembaca berita yang membaca berita dengan laju dan tanpa ada nada-nada tertentu. Namun, saya juga tidak boleh salahkan kerana ia mungkin bergantung pada kehendak televisyen selain kreativiti,” katanya.

Selain itu, katanya, seorang pembaca berita juga perlu peka dengan setiap sebutan.

“Saya berharap masyarakat tidak mengabaikan tontonan berita di televisyen sebagai wadah penyampaian berita paling tepat berbanding media sosial yang belum tentu kesahihannya,” katanya.

Hampir 30 tahun menjadi pembaca berita di RTM, Farit turut mengakui ada perubahan yang berlaku.

Kini, walaupun usianya sudah menginjak 63 tahun, Farit bagaimanapun tiada rancangan mahu bersara.

“Biarlah masa yang menentukannya (bersara). Selagi RTM masih memerlukan saya, saya bersedia untuk berkhidmat,” katanya sambil tertawa.

Pegang empat prinsip utama: Harjit Singh Hullon

Situasi berbeza bagi Harjit Singh Hullon yang meletakkan minat dan tanggungjawabnya sebagai pembaca berita di tempat paling atas.

Bahkan, bekas pelajar Sekolah Victoria Institution (Sekolah VI) ini mengakui sangat mengimpikan suaranya ke udara di radio mahupun televisyen.

“Saya bercita-cita mahu mendengar suara sendiri di radio sejak usia sembilan tahun lagi.

“Saya bernasib baik apabila dipilih selepas menyertai uji bakat di salah sebuah stesen radio RTM,” katanya.

Tidak hanya setakat itu, bakatnya kemudian dikembangkan dalam bidang penyiaran televisyen bermula pada 1973.

Membawa penampilan berserban diiringi dengan suara lunak serta mempunyai intonasi yang cukup unik dan berbeza, Harjit berjaya mencuri tumpuan masyarakat.

Tambahan pula, bapa kepada dua anak ini merupakan satu-satunya pembaca berketurunan Sikh yang fasih berbahasa Melayu dan Inggeris.

“Saya diberi peluang membaca berita akhir, petang dan perdana selama setahun sebelum berpeluang ke Bes Dunia,” katanya.

Malah, atas dasar komitmen yang tinggi juga menyebabkan Harjit kekal selama tiga dekad sebagai pembaca berita tetap Bes Dunia selain Farit Ismeth Emir, Jessica Ong, Maiza Musa dan Zaini Yuhyi.

Kredibiliti Harjit dalam dunia penyiaran menyebabkannya diiktiraf sebagai penyampai berita paling lama berkhidmat oleh Malaysia Book of Records pada 2011.

Ketika pengiktirafan itu dibuat, ikon pembaca berita ini telah berkhidmat selama 38 tahun di RTM.

“Sayang saya pada dunia penyiaran begitu menebal kerana dapat mencapai apa yang saya impikan bahkan dapat lebih daripada apa yang saya jangkakan,” katanya.

Mengakui tidak mudah untuk kekal bertahan dalam dunia penyiaran, Harjit menitipkan ingatan buat generasi baharu agar memegang empat prinsip penting iaitu minat, komitmen, disiplin dan dedikasi.

Katanya, keempat-empat prinsip ini perlu ada dalam diri anak muda yang mahu menyerlah dalam kerjaya, selain menjadi aspek penting untuk mengharungi cabaran yang bakal dihadapi.

“Orang luar fikir membaca berita mudah. Tapi saya tidak menganggap begitu sebaliknya merasakan satu tanggungjawab yang berat.

“Setiap kerjaya ada cabaran. Saya juga pernah melalui pelbagai cabaran, namun saya berjaya melaluinya dengan baik kerana terlalu minat dalam bidang ini,” katanya.

Bakal menginjak usia 63 tahun pada 4 Oktober ini, Harjit turut meluahkan keinginannya untuk bersara sempena sambutan ulang tahun kelahirannya itu.

Selain mahu memberi peluang kepada muka-muka baharu, Harjit mengakui sudah tiba masanya untuk berundur diri selepas hampir 44 tahun berkecimpung dalam bidang tersebut.

“Saya bersedia untuk berkongsi pengalaman dan bimbingan kepada pembaca berita generasi baharu.

“Walaupun saya berhenti daripada tugas menjadi pembaca berita, tetapi rasa cinta terhadap tugasan kewartawanan masih tidak bernoktah,” kata Harjit yang pernah menjadi jurulatih hebahan untuk kakitangan Malaysia Airports Holdings Berhad sejak 15 tahun lalu.

Perlu lebih bersiap-siaga: Christine Ling

Lebih selesa ‘membahasakan’ pembaca berita veteran segenerasinya sebagai warga lestari, Christine Ling turut memulakan kerjayanya di RTM sebelum berhijrah ke stesen televisyen swasta popular, TV3.

Terkenal kerana kefasihannya dalam berbahasa Melayu, selebriti berusia 57 tahun ini turut mengakui dunia penyiaran televisyen mengalami perubahan seiring dengan perkembangan teknologi dan perbezaan khalayak.

“Saya percaya persamaannya tetap ada. Hari ini pun, generasi baharu masih lagi menyampaikan berita cuma teknologinya lebih hebat berbanding dahulu.

“Selari dengan itu, mereka juga seharusnya lebih pantas bersaing terutamanya dalam soal kemas kini selain kekal relevan untuk khalayak.

“Lebih-lebih lagi, ketika ini, persaingan di antara sesama media cukup hebat sekali,” katanya.

Tambahnya, setiap perubahan yang berlaku adalah normal dan sebagai pemain industri haruslah mengikut kehendak dan keperluan zaman.

“Sebenarnya, saya gembira melihat ada kemajuan dan saya berdoa agar warga lestari ini juga mampu bersaing dengan perkembangan dunia digital hari ini.

“Jangan dilupa juga dengan citarasa khalayak yang sudah tentunya sentiasa mengikut kehendak semasa,” katanya.

Pada masa sama, wanita berbangsa Cina ini turut mementingkan akan kepentingan membuat penyelidikan dan kajian supaya lebih bersedia berhadapan dengan khalayak.

“Baik teknologi berubah sebegitu rupa, tetapi persiapan dan persediaan tidak sesekali berubah. Malah, ia merupakan suatu tuntutan kerja. Itulah prinsip utama yang saya pegang.

“Lagi pula, khalayak kini lebih interaktif, spontan dan semasa.

“Situasi itu lebih memerlukan pembaca berita pada hari ini lebih bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Dalam pada itu, Christine yang cukup sinonim dengan ungkapan ‘sudi sudikanlah’, tidak lagi terbabit dalam dunia penyiaran sebaliknya lebih selesa menumpukan perhatian kepada kelas bahasa Melayu yang diusahakan secara kecil-kecilan.

“Buat masa ini, tugas seharian saya membantu mereka yang mahu memperbaiki penguasaan bahasa Melayu dan penyertaan terbuka kepada golongan pelajar dan profesional,’’ katanya.
Powered by Blogger.